Jutawan Palestin tuntut permohonan maaf UK

Munib al-Masri. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

- Advertisement -

NABLUS: Seorang ahli perniagaan Palestin akan memfailkan petisyen meminta kerajaan Britain memohon maaf atas jenayah perang yang dilakukan mereka semasa mandatnya terhadap Palestin.

Munib al-Masri, jutawan berusia 88 tahun dan kawan rapat bekas pemimpin Palestin, Allahyarham Yasser Arafat, memfailkan petisyen untuk meminta pengakuan rasmi dan permohonan maaf atas penderaan semasa pemerintahan British di Palestin dari 1917 hingga 1948, lapor The New Arab.

“Peranan Britain banyak memberi kesan kepada saya kerana saya melihat bagaimana orang diganggu, kami tidak mempunyai sebarang perlindungan dan tiada sesiapa pun untuk mempertahankan kami.

“Britain sepatutnya memikirkan cara untuk membayar pampasan kepada rakyat Palestin,” katanya.

BBC melaporkan bahawa petisyen itu melibatkan dokumen bukti setebal 300 muka surat, termasuk butiran pembunuhan sewenang-wenangnya, penyeksaan, penggunaan perisai manusia, serta perobohan rumah sebagai hukuman kolektif.

Masri sebelum ini pernah terlibat dalam memfailkan saman di mahkamah Palestin untuk mendapatkan pampasan daripada Britain atas ‘kesalahan’ yang disebabkan oleh Deklarasi Balfour.

Sementara itu, The Guardian melaporkan bukti sejarah termasuk butiran pembunuhan sewenang-wenangnya, penyeksaan, penggunaan perisai manusia dan pengenalan perobohan rumah sebagai hukuman kolektif, yang telah dijalankan dalam garis panduan dasar rasmi untuk pasukan kerajaan Britain pada masa itu atau dengan persetujuan daripada pegawai kanan.

Dua peguam antarabangsa iaitu bekas ketua pendakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Luis Moreno Ocampo dan bekas Pelapor Khas PBB mengenai hak asasi manusia dan memerangi keganasan, Ben Emmerson KC turut terlibat dalam projek yang digerakkan Masri itu.

Emmerson berkata, pasukan undang-undang telah menemui bukti jenayah mengejutkan yang dilakukan oleh unsur-unsur tertentu pasukan mandotori British secara sistematik ke atas penduduk Palestin.

“Mereka adalah sebahagian daripada golongan yang mempunyai graviti yang sangat besar sehingga mereka akan dianggap walaupun ketika itu sebagai pelanggaran undang-undang kebiasaan antarabangsa,” katanya kepada BBC.

Masri dijadualkan membentangkan fail itu kepada kerajaan British pada akhir tahun ini.

Kementerian pertahanan UK berkata dalam satu kenyataan bahawa ia menyedari dakwaan terhadap anggota angkatan tentera dalam tempoh itu dan bahawa sebarang bukti yang diberikan akan disemak secara menyeluruh. – HARAKAHDAILY 11/10/2022

- Advertisement -