
Oleh AIN MANAF
RANTAU PANJANG: Pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi selepas negara beralih ke fasa endemik April lalu melegakan rakyat terutamanya golongan peniaga.
Sedangkan sebelum ini lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal terpaksa menutup perniagaan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir dua tahun.
Bagaimanapun sekarang semuanya berubah, malah ada peniaga tidak menang tangan melayan pelanggan termasuk pelancong dari luar Kelantan setiap hujung minggu.
Tinjauan Harakahdaily ke Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang yang dikenali sebagai ‘syurga membeli belah’ memperlihatkan ramai peniaga senyum memanjang.
Seorang peniaga pakaian Bash Mohammad, 54, ketika ditemui berkata, cuti sekolah minggu lepas perniagaan begitu rancak sekali.
Katanya ramai pengunjung dan anak perantau pulang ke kampung dan datang membeli belah di sini.
“Jika nak dibandingkan dengan sebelum berlakunya pendemik Covid-19 memang ketika itu sambutan agak luar biasa tetapi selepas berlaku wabak sambutan agak kurang.
“Minggu ramai pelancong datang membeli belah di sini terutamanya pada hujung minggu,” katanya.
Peniaga menjual makanan dan minuman di gerai Rozila Kamarudin, 38, turut meluahkan rasa syukur dengan kehadiran ramai pelanggan sekarang.
Menurutnya keadaan perniagaan sekarang masih belum pulih sepenuhnya, namun jualan semakin meriah apabila semakin ramai berkunjung ke Rantau Panjang. – HARAKAHDAILY 14/9/2022




















