Mangsa banjir Sungai Iboi dipindah ke penempatan baharu

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Proses pengambilan tanah untuk memindahkan 17 keluarga penduduk yang tinggal di zon kuning, Sungai Iboi berjalan lancar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebanyak RM4 juta diluluskan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yakob untuk menyediakan penempatan baharu kepada penduduk terbabit.

Katanya, lokasi itu dikenal pasti di Kampung Seniyek terletak kira-kira empat kilometer dari penempatan asal.

- Advertisement -

“Saya berharap proses tersebut berjalan secepat mungkin memandangkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai dihantui kebimbangan terutama apabila hujan lebat.

“Lokasi berkenaan berisiko kerana aliran air dari Gunung Inas terkumpul di Sungai Iboi ekoran wujud laluan akibat kejadian aliran puing 4 Julai lalu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Pada 4 Julai lalu berlaku kejadian aliran puing sehingga menyebabkan berlaku banyak kemusnahan termasuk kemudahan asas, rumah penduduk, kenderaan dan pelbagai lagi.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Baling menganggarkan lebih 900 rumah rosak ekoran kejadian tersebut sehingga melibatkan kerugian dianggar RM28 juta.

Perdana Menteri ketika lawatan kerja ke Kedah awal September lalu mengumumkan peruntukan tersebut.

Sanusi juga berkata, usaha-usaha mengurangkan risiko banjir giat dilaksanakan kerajaan termasuk mendalamkan Sungai Iboi dan mengangkat ketinggian jambatan bailey.

“Kejadian banjir baru-baru ini menyebabkan banyak reba, sampah sarap tersangkut di bawah jambatan bailey dan mengakibatkan laluan air tersekat.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan mengangkat ketinggian jambatan berkenaan ke satu meter dan boleh digunakan semula penduduk bermula Ahad lepas,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2022

- Advertisement -