
BANU Musa yang hidup sekitar 803–873 Masihi ialah tiga bersaudara iaitu Abu Ja‘far Muhammad, Abu’l-Qasim Ahmad, dan al-Hasan yang memiliki himpunan kepakaran meliputi astronomi, matematik, kejuruteraan, dan geometri.
Kerjaya penuh gemilang Banu Musa mencapai kemuncak ketika mereka berada dalam Gerakan Penterjemahan yang dinaungi oleh Khalifah Abu’l-‘Abbas ‘Abd-Allah al-Ma’mun (m. 833). Berbekalkan dorongan dan dana yang disumbangkan oleh khalifah-khalifah Bani ‘Abbasiyyah, gerakan tersebut giat mengumpul, mengkaji, menterjemah, dan mewacana karya-karya peradaban terdahulu seperti Yunani, Parsi, dan India.
Banu Musa memanfaatkan sepenuhnya Baitul Hikmah (Teratak Kebijaksanaan) iaitu sebuah pusat penyelidikan termasyhur di Kota Baghdad yang diasaskan oleh Khalifah Harun al-Rashid (m. 809), iaitu ayahanda kepada Khalifah al-Ma’mun. Naungan oleh khalifah membolehkan Banu Musa untuk menggajikan perkhidmatan sarjana-sarjana berpengetahuan luas lagi berpengaruh seperti Hunayn ibn Ishaq (m. 873) dan Thabit ibn Qurrah (m. 901) bagi mengumpulkan dan menterjemahkan banyak manuskrip ilmiah dahulu kala.
Sarjana-sarjana seperti J. L. Berggren, Roshdi Rashed, Donald R. Hill, Ahmad Y. al-Hassan, dan lain-lain, sepakat bersetuju bahawa Banu Musa adalah antara penyumbang terbesar korpus sains Islam pada abad ke-9. Bahkan, sejarawan D. M. Dunlop berpendapat bahawa Abu Ja‘far Muhammad tidak lain tidak bukan adalah tokoh matematik Muhammad ibn Musa al-Khwarizmi.
Gelarannya ‘al-Khwarizmi (dari wilayah Khwarzm di Asia Tengah)’ mencetuskan nama bagi algoritma yang kini difahami sebagai ‘penukaran cara penyelesaian masalah yang dinyatakan dalam bentuk rumusan, bentuk lisan, bentuk carta alir atau bentuk pseudokod, kepada suruhan yang dapat difahami komputer’.
Di Baitul Hikmah, Banu Musa giat mereka cipta dan membina alat-alat yang mempesonakan seperti pancur air dan jentera berdaya kendiri, oleh itu menjadikan mereka pelopor alat-alat automatik. Karya mereka yang berjudul Kitab al-Hiyal (Buku berkenaan Alat-alat Helah) mengandungi lebih dari 100 lakaran alat-alat mekanikal berserta penerangan cara-cara membina dan menggunakan.
Mereka juga menyarankan pelbagai kegunaan sistem ciptaan mereka termasuklah minum, membasuh, dan berwuduk. Tiada syak lagi bahawa Islam, agama yang terdapat di dalamnya suruhan menjaga kebersihan dan dorongan memberi bakti kepada orang lain, adalah sumber ilham kepada daya cipta dan buah fikir pembaharuan yang dicetuskan oleh Banu Musa.
Demikianlah sejarah menunjukkan bagaimana wewenang diraja mempunyai peranan penting dalam memangkinkan kemajuan sains dan teknologi berbanding usaha perseorangan, justeru memandu perubahan besar dalam masyarakat.
Gambar hiasan: Lakaran dan gambaran salah satu dari alatan automatik dalam manuskrip Kitab al-Hiyal yang kini tersimpan dalam Muzium Istana Topkapi di Istanbul, Türkiye.
DR. MUHAMMAD HUSNI MOHD AMIN
Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 13/9/2022
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0xKwAzUDjKXsXbfMJ8P2ZhpDrSyUo7D5Kx4zaVzLWKqdeSHVrceWeqPbmfwvaQd7Kl&id=100064392321114
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











