
KUALA LUMPUR: Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu memaklumkan perkembangan terkini kesihatan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital pada awal pagi tadi.
Menurut kenyataan pejabat itu petang ini, Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berada dalam keadaan stabil dan di bawah pemantauan doktor di Kuala Terengganu.
Beliau dikejarkan ke Hospital Kuala Terengganu setelah rebah ketika program sambutan kemerdekaan kawasan Kuala Terengganu di Bukit Besar.
Tambah kenyataan itu, atas nasihat doktor, beliau diminta agar berehat secukupnya dan tidak menerima sebarang pelawat buat sementara waktu.
Untuk makluman, sebarang aktiviti atau program beliau buat masa ini terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan sehingga kesihatan pulih sepenuhnya.
“Mohon kepada semua untuk mendoakan kondisi kesihatan YB Datuk Haji Amzad Hashim agar kembali pulih sepenuhnya supaya beliau dapat meneruskan khidmat kepada masyarakat seperti biasa,” ujar kenyataan itu lagi. – HARAKAHDAILY 13/9/2022











