Seimbang jaga kesihatan mental dan fizikal – Idris

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kekuatan rohani perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan besar terhadap diri kita. Kita mesti seimbang menjaga kesihatan mental dan fizikal,” kata Senator Datuk Idris Ahmad.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal agama) itu menyatakan demikian susulan beliau berada di Hospital Sungai Buloh hari ini bagi meninjau perkembangan program kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui projek Perkhidmatan Penjagaan Spiritual (Spritual Care).

Menurutnya, Hospital Sungai Buloh merupakan hospital rintis bagi perlaksanaan projek Perkhidmatan Penjagaan Spiritual yang bermula awal Februari 2022 lalu.

Katanya, sehingga kini sebanyak 63 orang klien telah mendapatkan perkhidmatan itu.

“Justeru itu, hari ini saya ingin meninjau dan mendapatkan maklum balas secara terus daripada pihak hospital sepanjang lima bulan perlaksanaan,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Tambahnya, antara perkhidmatan yang disediakan kena para pesakit adalah kaunseling syarie, psikologi spiritual dan ‘Ilaj Syarie.

Beliau berkata, rata-rata respons hasil penilaian projek itu sangat positif dan digalakkan untuk dikembangkan lagi.

“Insya-Allah akan dilaksanakan penambaikan perkhidmatan ini dari semasa ke semasa.

“Semoga intervensi spiritual dapat diketengahkan sebagai salah satu kaedah rawatan bagi membantu Keluarga Malaysia terutama bagi mereka yang menghadapi masalah kemurungan atau tekanan agar dapat membina kembali kekuatan dalaman dan seterusnya dapat menjaga kesihatan mental,” tambahnya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada JAKIM dan KKM atas penganjuran projek yang sangat bermanfaat itu. – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -