PAS bukan lagi sebuah parti yang ditakuti

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
PAS sekarang bukan lagi sebuah parti yang ditakuti, malah hubungan dengan pelbagai pihak terutamanya agensi-agensi kerajaan semakin meluas.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, begitu juga hubungan dengan wartawan dan pengamal media bertambah erat.

Katanya, PAS menyedari peranan wartawan begitu penting sebagai ejen menyebar suara rakyat dalam menjayakan agenda pembangunan negara.

- Advertisement -

Kata beliau hubungan PAS dengan petugas media semakin erat bagi membolehkan maklumat berkaitan parti itu dapat disebarkan kepada orang ramai.

“Apa yang penting berita yang disalur benar dan tepat. Saya mengambil peluang mengucap terima kasih kepada pengamal media yang sentiasa memastikan ketepatan maklumat yang dilaporkan,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada program santai bersama media anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Perlis yang diadakan di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) semalam.

Sebanyak tujuh wakil agensi media hadir antaranya Harakah, Utusan Malaysia, Bernama, Berita Harian, Kosmo, Guang Ming Daily dan Kwong Wah Yit Poh.

Sementara itu, Pengarah program, Husna Hashim berkata, program berkenaan diharap dapat mengeratkan lagi hubungan antara wakil media bersama kepimpinan PAS negeri.

“Biarpun berlangsung secara santai, namun pelbagai input diperolehi wakil media yang berpeluang mengemukakan soalan serta pandangan berkenaan pelbagai isu.

“Alhamdulillah, banyak isu dibangkitkan antaranya perkembangan semasa melibatkan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional serta berkaitan pembahagian kerusi di Perlis,” ujarnya.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Perlis, Muhammad Azmir Azizan dan Ketua Penerangan PAS Arau, Mohd Ridzuan Hashim. – HARAKAHDAILY 19/6/2022

- Advertisement -