Kelantan tanam 4.2 juta pokok tahun lepas

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN|Foto UKMB

PASIR MAS:
Sepanjang tahun lepas Kelantan berjaya menanam sebanyak 4.2 juta pokok yang merupakan tertinggi di Semenanjung Malaysia dan ketiga tertinggi selepas Sarawak dan Sabah.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, aktiviti tersebut melibatkan pelbagai program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri, agensi-agensi kerajaan, swasta, NGO dan orang perseorangan.

Katanya, jumlah tersebut sebahagian daripada sasaran sebanyak 15 juta pokok akan ditanam di seluruh Kelantan sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

- Advertisement -

“Program Penghijauan Malaysia – Kempen Penanaman 100 juta pokok bertepatan dengan hasrat Kelantan untuk menggerakkan inisiatif menangani kesan perubahan iklim,” katanya ketika merasmikan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Maahad Tahfiz Daril Ulum, Kampung Meranti hari ini.

Hadir sama anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan Abdul Khalim Abu Samah.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sentiasa komited terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi terutama hutan yang merupakan anugerah Allah SWT.

Menurutnya juga Hutan Simpan Kekal Kelantan sekarang seluas lebih 629,000 hektar bersamaan 42 peratus daripada keluasan tanah negeri.

“Kerajaan negeri akan terus komited mengekalkan kawasan hutan yang mencukupi untuk kesejahteraan dan kestabilan alam sekitar.

“Program Penghijauan Malaysia – Kempen Penanaman 100 Juta Pokok amat bertepatan sekali dengan iltizam kerajaan Kelantan untuk menggerakkan inisiatif menangani dan mengurangkan kesan perubahan iklim,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/9/2022

- Advertisement -