
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mewujudkan enakmen yang membolehkan tindakan diambil ke atas individu atau pihak yang mempromosikan budaya songsang, termasuk mempromosikan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, walaupun gesaaan itu mungkin melibatkan bidang kuasa tadbir urus kerajaan negeri, namun ia perlu dilakukan dengan tujuan untuk memberi keinsafan atau teladan kepada orang lain.
“Saya kesal, sudah beberapa kali diperingatkan. Dalam suasana kita di penghujung Ramadan, kemudian budaya yang ditunjukkan itu bukan budaya kita.
“Orang Islam, budaya Malaysia pun bukan, jauh sekali budaya Islam, dan perkara yang paling besar adalah perkara itu menjadi tegahan dan laknat Nabi Muhammad SAW,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, petang semalam.
Menurut Ahmad, tindakan memakai pakaian seperti wanita, tingkah laku, lentok badan, memakai perhiasan wanita semuanya tergolong dalam kelakukan menyerupai wanita, begitu juga sebaliknya kepada kaum wanita yang menyerupai lelaki.
Tambahnya, tindakan itu tidak sesuai dari aspek moral akhlak, dan budaya, apatah lagi ia melanggar hukum syariat dan pelaku merupakan individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat.
Perkara itu katanya, dibimbangi menjadi ikutan dan contoh kepada orang lain pula selepas ini.
“Saya berharap individu itu dapat tarik semula video itu dan memohon maaf secara terbuka. Saya harap individu tersebut insaf, pintu taubat terbuka untuknya dan orang yang melakukan kesalahan ini, lebih-lebih lagi di akhir Ramadan, bulan yang mulia,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan tegas berhubung kontoversi klip video lagu raya itu. Katanya, jika tiada sebarang tindakan diambil, dibimbangi perkara sama bakal berulang di kemudian hari.
Ahmad dalam masa sama turut menasihati masyarakat umum agar tidak menjadikan perkara sedimikian sebagai ikutan dan contoh memandangkan katanya, ia bukan perkara yang baik untuk diikuti.
Dalam perkembangan sama, usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, pada Selasa memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan klip video rayanya itu. Dia turut merayu semua pihak tidak mengaitkan ahli keluarganya dalam isu berkenaan.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, pada Isnin dilaporkan berkata satu kertas siasatan dibuka mengikut seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video berkenaan.
Penayangan video berkenaan melalui media sosial mendapat kecaman ramai pihak berikutan ia memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut dengan tarian mencolok mata.
Ini bukan kali pertama Aliff Syukri terpalit dengan kontroversi berikutan beliau pernah tampil dengan satu klip video muzik bertajuk ‘Bobo di mana?’ pada 2018 yang memaparkan dua individu transgender berpakaian mencolok mata.
Tindakan itu turut mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk ibunya sendiri yang juga usahawan, Rozita Ibrahim. – HARAKAHDAILY 27/4/2022











