
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Masyarakat mempunyai peranan penting dalam mengelakkan kes penderaan dari terus berlaku, terutamanya individu di sekeliling insan golongan kelainan upaya (OKU).
Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS, Dr Rosni Adam, berkata golongan OKU tidak wajar diabaikan dari aspek pendekatan rohani termasuk insan di sekeliling mereka.
Katanya, isu penderaan adik Bella hanyalah pencetus kepada kesedaran masyarakat, banyak lagi kes penderaan diluar sana membabitkan golongan OKU yang tidak mendapat perhatian wajar dari masyarakat.
“Sudah tiba masanya masyarakat cakna dan menjadikan golongan OKU boleh berada dalam mayarakat seolah ia perkara biasa.
“Selain daripada persiapan prasarana untuk mereka, ‘mind setting’ kita juga perlu dipersiapkan dan lihat bagaimana negara maju melayan golongan OKU dalam masyarakat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai memberikan Tazkirah Zohor Ramadan berjudul Amalan Pemakanan Rasulullah SAW Dari Perspektif Sains, di Pejabat Harakah, di sini, petang semalam.
Tambah Dr Rosni, golongan OKU sebenarnya tidak mengharapkan simpati orang ramai, tetapi mereka mahukan hak mereka untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Katanya, perkara itu boleh dilihat melalui Skuad Upaya OKU yang disertai oleh golongan OKU untuk menjadi sukarelawan kebajikan dalam kalangan mereka.
Katanya lagi, mereka juga boleh diberi peranan dalam masyarakat, boleh memainkan peranan itu untuk menjada kebajikan OKU lain.
Justeru kata Dr Rosni, penderaan terhadap golongan OKU boleh dielakkan dengan masing-masing mengambil peranan terutamanya jiran dan ahli keluarga terdekat.
“Kita perlu melihat kembali kepada pemerkasaan institusi keluarga dan juga kejiranan kita. Masing-masing perlu cakna dengan apa yang berlaku di sekitar kita.
“Begitu juga penekanan aspek kerohanian pada OKU itu sendiri, kita selalu beranggapan OKU tak memerlukan aspek kerohanian, dakwah dan sebagainya disebabkan Allah sudah menjadikan mereka sebegitu, tetapi sebenarnya mereka juga ada taklifan tersendiri.
“Contoh jika OKU penglihatan, mereka masih boleh solat, jadi perlu ada pendekatan dari aspek kerohanian untuk mereka saling menjaga kebajikan dalam kelompok mereka dan orang terdekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/4/2022











