
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Anak-anak perantau Kedah khususnya yang bekerja di Lembah Klang disaran menubuh persatuan untuk memudahkan urusan berkaitan mereka.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Dato’ Ahmad Yahaya berkata, dana sebanyak RM50,000 disumbang Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim boleh dimanfaat bagi tujuan itu.
“Setakat ini kita tidak mempunyai data lengkap jumlah anak-anak Kedah di perantauan terutamanya di Lembah Klang sama ada dalam kalangan mereka pelajar pusat pengajian tinggi atau bekerja,” katanya di sini.
Pada Ahad lepas PAS Kedah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak perantau yang dihadiri lebih 1,000 orang.
Program yang diadakan di Astana Banquet Hall, Cyberjaya itu pada peringkat awal menerima pengesahan kehadiran seramai 700 orang melalui aplikasi pendaftaraan yang disediakan.
Ahmad juga berkata, persatuan itu juga boleh dijadikan platform merapatkan hubungan kekeluargaan termasuk kabajikan anak-anak perantau Kedah.
Menurutnya juga kebanyakan mereka yang hadir pada malam itu begitu teruja dapat bertemu pemimpin-pemimpin Kedah terutamanya menteri besar.
“PAS Kedah gembira kerana Sanusi disenangi dan diterima semua lapisan masyarakat, muda, tua dan kanak-kanak,” tambahnya.
Beliau juga berkata, persatuan yang bakal diwujudkan boleh dijadikan medan menyumbang idea kepada kerajaan negeri kerana ada kalangan mereka memiliki kepakaran dan pengalaman dalam bidang tertentu. – HARAKAHDAILY 26/4/2022











