
DALAM risalah Al-Hukm Al-Syar’ie Fi Istikhdām Lu’bah Al-Bubji tulisan Dr. Thaha Ahmed Al-Zaidi menyatakan bahawa permainan video PUBG mempunyai implikasi negatifnya tersendiri kepada pemikiran remaja khasnya apabila ketagih kepada permainan tersebut:
وأما ما يتعلق بخصوص لعبة PUBG فإنها وبحسب تقارير إعلامية وأمنية تعد واحدة من ألعاب الفيديو التي انتشرت في المدة الأخيرة بشكل كبير.. وقد صنف باحثون مختصون بعلم النفس والاجتماع والإعلام الرقمي هذه اللعبة بأنها صنف خطير من صنوف المخدرات الرقمية، حيث أن جميع من يمارسها لأول مرة لا يستطيع مفارقتها
“Adapun berkaitan dengan permainan PUBG pula, menurut laporan media dan keselamatan, ia merupakan salah satu permainan video yang telah tersebar dengan ketara sejak kebelakangan ini. Penyelidik pakar dalam bidang psikologi, sosiologi dan media digital telah mengklasifikasikan permainan ini sebagai sejenis dadah digital yang merbahaya kerana boleh dikatakan semua yang bermain dengannya buat kali pertama, sememangnya tidak boleh meninggalkannya”.
PUBG atau Player Unknown’s Battlegrounds merupakan permainan peperangan secara online yang pada awalnya dibangunkan oleh syarikat Bluehole yang berpusat di Korea Selatan. Kebanyakan penggemarnya boleh menjadi ketagih berlebihan atau lebih dikenali sebagai Gaming Disorder. Berdasarkan laman WHO, Gaming Disorder telah ditakrifkan dalam Draf 11 Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD-11) yang beri kesan negatif terhadap diri sendiri, keluarga, pekerjaan, pendidikan dan sosial.
Secara dasarnya jika PUBG ini tidak melekakan serta tidak mendatangkan kemudharatan, sudah tentu ianya dibolehkan sebagaimanalah permainan catur yang memerlukan kemahiran berfikir dan strategi. Ada sesetengah mengkategorikan PUBG sebagai E-Sport dan ianya dapat menarik minat sebilangan besar anak muda. Namun, semasa berada di bulan Ramadan yang mulia khasnya di sepuluh terakhir yang memerlukan fokus taqarrub kepada Allah, maka elakkan diri anda bermain PUBG! Jika anda menjadi leka dan meninggalkan ibadat yang sangat dituntut kerana PUBG, maka hukumnya boleh bertukar menjadi haram, ittaqillah.
ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 26/4/2022











