
TAWAU: PAS Tawau menyampaikan sumbangan sebanyak RM122,000 kepada mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya yang membabitkan 610 ketua isi rumah (KIR).
Sumbangan berbentuk wang tunai itu diserahkan kepada mangsa kebakaran yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Tawau.
Yang Dipertua PAS Tawau, Mohamad Husain berkata setiap mangsa terbabit menerima sebanyak RM200 yang dikumpul daripada sumbangan orang ramai di seluruh Malaysia bagi membantu mangsa kebakaran terbabit.
“Melalui cawangan-cawangan PAS Tawau bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sudah beberapa kali turun ke lokasi kebakaran untuk membantu dan menyantuni mereka.
“Malah, sejak hari pertama kejadian itu berlaku, PAS Tawau menyediakan makanan, barang keperluan, pakaian serta sokongan moral,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Menurutnya, PAS Tawau menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang kebanyakannya beragama Islam dan meminta mereka terus tabah menghadapi dugaan menjelang sambutan Ramadan.
“Akibat kebakaran itu, kebanyakan mangsa kini hanya berteduh di bawah bangsal dengan beralaskan papan lapis dan kanvas.
“Kami turut merasai penderitaan mereka kerana rata-rata mangsa merupakan golongan yang berpendapatan rendah dan miskin,” katanya.
Mohamad turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang kerana bersama-sama PAS Tawau membantu mangsa kebakaran tersebut.
“Selain itu, terima kasih juga kepada Polis, RELA, JKM, media, pengurusan masjid dan ahli jawatankuasa PAS Tawau, Pemuda, Muslimat, Jabatan Amal serta Briged Muslimat kerana membantu menjayakan misi bantuan tersebut,” katanya.
Sementara itu, mangsa yang dikenali sebagai Wati ketika ditemui menyatakan musibah itu menyebabkan lima ahli keluarganya turut kehilangan tempat tinggal.
Katanya, mereka sekeluarga sekarang menumpang sementara di rumah keluarga terdekat sebagai tempat berteduh.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang terutamanya PAS Tawau kerana sentiasa turun padang membantu semua mangsa kebakaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2022











