
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Dakwaan pembangkang kononnya ada konsultan meminta suapan RM4 juta daripada Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dinafikan universiti terbabit.
Pejabat Naib Canselor UniSHAMS berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan ia dianggap sangat tidak berasas.
Katanya permohonan pembinaan asrama di tanah yang digazetkan di universiti berkenaan masih dalam proses permohonan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk kelulusan Ketua Pendaftar.
Malah proses tawaran kepada perunding (konsultan) hanya boleh dibuat selepas mendapat kelulusan terbabit.
“UniSHAMS tidak mempunyai kepakaran oleh itu pelantikan perunding untuk pembangunan asrama UniSHAMS merupakan keperluan terutama untuk melaksanakan kerja-kerja penyediaan draf perancangan rekabentuk dan konsep sehingga asrama tersebut disiapkan sepenuhnya menerusi kaedah Request For Proposal (RFP).
“Kerja-kerja RFP termasuk Preliminary Detail Abstract oleh pihak arkitek, perundingan kerja-kerja awam dan struktur, perundingan kerja-kerja kejuruteraan mekanikal, kerja-kerja ukur bahan dan perancangan kewangan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Pada Sidang Dun minggu lepas, Adun Kota SiPuteh, Dr Salmee Said (Amanah) mendakwa terdapat konsultan meminta bayaran sebanyak RM4 juta dari pihak UniSHAMS yang mengemukakan cadangan pembinaan asrama untuk menempatkan 2,000 pelajar.
Dakwaan berkenaan turut dinafikan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan mencabar Adun terbabit membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya beliau mempunyai bukti.
Pejabat Naib Canselor UniSHAMS juga berkata, dakwaan itu adalah mustahil memandangkan proses pemilihan perunding hanya akan diiklankan pada bulan Mei 2022.
Dalam masa yang sama pihak UniSHAMS tidak bertanggungjawab ke atas mana-mana perunding kerana tiada sebarang lantikan rasmi dibuat sebelum ini.
“Cadangan pembinaan asrama itu telah diluluskan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat UniSHAMS Sdn. Bhd. Kali Ke-14 pada 17 Januari lalu.
“Kaedah pembiayaan menerusi kaedah BOT oleh pihak swasta dan yuran perkhidmatan yang dikenakan adalah menurut amalan profesional yang ditetapkan melalui Perbendaharaan Malaysia,”jelasnya. – HARAKAHDAILY 27/3/2022











