
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan sejuta penyertaan Skuad Wanita Anti Jenayah (Skuad Waja).
Timbalan Menteri KPWKM, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, biar pun penubuhan skuad pada Oktober 2021, namun penyertaan kini mencecah 144,000.
Beliau berkata, hasrat itu bukan hanya melibatkan golongan wanita, malah turut membuka penyertaan lelaki dan pelajar institusi pengajian tinggi.
“Ini merupakan ruang terbaik untuk memberi sumbangan kepada masyarakat, jadi kita mengalu-alukan penyertaan seramai mungkin.
“Sasaran terbaru kita nak satu juta penyertaan Skuad Waja, itu hasrat kita, sebab skuad tersebut untuk semua dan bukan wanita sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Semarak Skuad Waja Negeri Kelantan di Aeon Mall di sini semalam.
Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, Skuad Waja merupakan program meningkatkan kesedaran terhadap keganasan wanita.
Bagi memastikan keberkesanan gerak kerja Skuad Waja kata beliau, beberapa proses penambahbaikan akan dilaksanakan terutama aspek psikososial.
Hal itu bagi memastikan sukarelawan Skuad Waja diberi latihan sempurna agar lebih berkeyakinan dalam menghadapi kecemasan semasa.
Menurut beliau, hasrat tersebut selaras dengan suasana semasa bagi membantu golongan terkesan dengan bencana alam serta trauma.
“Sebab kita dalam masyarakat kita berhadapan dengan pelbagai suasana sekarang jadi sudah tentulah usaha ini perlu dilakukan.
“Golongan terkesan memerlukan bantuan dari Skuad Waja, kita perlu ada kepakaran dan ilmu untuk menyantuni mereka,” katanya.
Modul itu akan ditambah baik dengan memasukkan kemahiran menolong peringkat pertengahan dan lanjutan bagi Empati, Atensi, Respons, Sokongan (E.A.R.S).
Modul sekarang diberikan pendedahan mengenai kemahiran peringkat asas menolong iaitu E.A.R.S dan ilmu Psychological First Aid (PFA).
Ia merupakan modul baharu yang dibangunkan Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia (ISM) tahun lalu. – HARAKAHDAILY 27/3/2022











