
Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melahirkan kebimbangan dengan kadar pengambilan dos penggalak yang rendah dalam kalangan rakyat termasuk melibatkan program vaksinasi golongan kanak kanak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, program imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) kurang mendapat sambutan daripada ibu bapa.
Katanya, kalau kesedaran ibu bapa rendah khususnya untuk dos penggalak, apa lagi melibatkan program PICKids.
Kata beliau keadaan itu akan mendorong peningkatan kes secara mendadak apabila fasa endemik bakal dihadapi 1 April ini.
“Memandangkan rakyat Kelantan menerima vaksin paling rendah, booster juga rendah, ada kebimbangan apabila buka sempadan negara dan peralihan kepada endemik, maka rakyat lebih bebas.
“Kalau SOP tak jaga, tambahan vaksin tak ada, saya bimbang takut penularan kes jadi tinggi dan ia juga boleh menyebabkan kes jadi serius… kita bimbang kemasukan ke hospital tinggi,” kata Dr Izani.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian wang sumbangan ISF kepada semua Majlis-Majlis Daerah di Kelantan semalam.
Tambahnya juga kurang sambutan PICKids antara lain disebabkan kurang kesedaran dalam kalangan ibu bapa.
Dr Izani berkata, lebih membimbangkan, ibu bapa sendiri tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan.
“Jabatan Kesihatan Kelantan melaksanakan pelbagai kempen bagi meningkatkan tahap kesedaran ibu bapa mengenai keberkesanan serta manfaat vaksin.
“Malangnya peratus masyarakat mengambil bahagian dalam dos penggalak masih rendah. Sehubungan itu rakyat di negeri itu supaya mengambil dos penggalak termasuk PICKids,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/3/2022











