Kerajaan perlu bina segera penempatan mangsa kebakaran

- Advertisement -

Oleh SITI NADIAH ABD MUTALIB

TAWAU:
PAS Tawau merayu simpati orang ramai untuk membantu mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian kebakaran di sini, semalam.

Yang Dipertua PAS Tawau, Mohamad Husain berkata, pihaknya bersimpati terhadap bencana tersebut yang melibatkan kira-kira 700 rumah penduduk.

- Advertisement -

“Kita sedang mengumpul sumbangan daripada orang ramai untuk sampaikan kepada mangsa-mangsa yang kini tinggal sehelai sepinggang.

“Kami mengucap berbanyak terima kasih atas sumbangan dan simpati masyarakat yang sama-sama menanggung kesusahan mangsa dan InsyaAllah sumbangan tersebut akan disampaikan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya juga kerajaan hendaklah menyegerakan pembinaan penempatan semula semua mangsa yang terlibat dengan kebakaran tersebut bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Pada pagi tadi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Tawau dan PAS Cawangan Taman Ria menghantar bantuan berupa barang keperluan harian dan pakaian kepada mangsa kebakaran.

Ketua Cawangan PAS Taman Ria, Halim Bidy berkata, di samping menyampaikan bantuan awal pihaknya berusaha mendapatkan maklumat jumlah dan keperluan sebenar mangsa kebakaran terbabit.

Turut hadir dalam misi tersebut ahli jawatankuasa PAS Cawangan berkenaan Qaharudin Othman dan Pengerusi LKK Muslimat, Siti Arfah Asrisal.

Pada kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.40 petang semalam, sebahagian besar penempatan yang didiami ribuan penduduk menjadi padang jarak padang tekukur. – HARAKAHDAILY 18/3/2022

- Advertisement -