
Oleh SYAHIRAH SALLEH
MUAR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil kesempatan untuk berpesan kepada semua pengundi bahawa undi mereka sangat penting untuk menentukan lima tahun kepimpinan kerajaan Johor.
Menurutnya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Perikatan Nasional menurunkan calon-calon yang sangat wibawa, yang telah melalui dua proses tapisan di peringkat parti masing-masing dan Perikatan Nasional.
“Kita meletakkan asas perlunya Johor dan negeri lain juga, pembinaan sebuah kerajaan yang integriti dan bebas rasuah, yang mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Jadi kita harapkan semua pengundi, akan keluar mengundi awal, kerana kita khuatir cuaca pada waktu petang yang tidak menentu, dibimbangi takut hujan dan sebagainya,” ujarnya ketika ditemui di Bilik Gerakan DUN Bukit Pasir, petang semalam.
Beliau juga mengharapkan para pengundi luar untuk pulang mengundi hari ini.
“Dan kita harapkan pengundi-pengundi luar juga baliklah mengundi dan semua majikan diminta supaya membenarkan pekerja-pekerja balik mengundi.
Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menambah, PAS meletakkan sasaran lebih daripada 75 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab.
“Jadi kita target supaya sekurang-kurangnya peratus keluar mengundi ini lebih kepada 75 peratus.
“Kemudian, oleh kerana Covid-19 masih lagi menjadi ancaman semua, pematuhan kepada SOP itu hendaklah diawasi, dijaga oleh semua pengundi,” ujarnya.
Beliau juga berharap tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini sepanjang proses mengundi.
“Dan kita harapkan insya-Allah kita tenang hadapi situasi pengundi, dan supaya tidak berlaku kes-kes yang tidak diingini.
“Dan sehingga setakat ini saya ucap tahniahlah kepada rakyat Johor, para penyokong, parti-parti yang bertanding, kerana tidak ada satu kes, insiden yang besarlah, yang berlaku di sepanjang tempoh kempen pilihan raya Johor,” katanya.
Bagi pihak PAS, beliau turut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para petugas dari seluruh negara kerana telahpun melaksanakan tanggungjawab turun di setiap tempat.
“Kepada para petugas, saya nak ucapkan terima kasih banyak bagi pihak parti kerana telahpun melaksanakan tanggungjawab turun di setiap tempat, seluruh negara untuk datang melaksanakan kempen kita di Johor membantu rakan-rakan kita daripada calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya negeri ini
“Kepada para petugas yang telah pun datang, pastikan kita laksanakan tanggungjawab sampai minit-minit akhir, sampai keputusan diumumkan, baharu kita anggap tugas kita selesai,” ujar beliau lagi.
Menurutnya, selagi keputusan PRN Johor belum diumumkan, tanggungjawab para petugas masih belum selesai lagi.
“Kepada rakan-rakan yang tidak boleh hadir, saya ucap terima kasih kerana banyak juga yang beri sumbangan dalam bentuk barangan, kewangan dan sebagainya.
“Sebahagian lagi yang tolong doa dari jauh pun alhamdulillah. Bagi kita, saya mengucapkan terima kasih banyak kepada ahli PAS sendiri yang uzur, yang tidak boleh hadir, tapi sentiasa mendoakan kemenangan kita di Johor,” tambah beliau.
Beliau mengharapkan keputusan esok menjadi titik tolak yang sangat penting kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Dan ini juga menggambarkan permuafakatan kita yang lebih kukuh dalam Perikatan Nasional, untuk kita hadapi persiapan dalam pilihan raya akan datang.
“Terima kasih banyak. Semoga Allah Taala membalas jasa baik kita semua, datang bertungkus lumus hendak mencapai kemenangan kita di pilihan raya negeri Johor,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/3/2022











