Calon PN gesa keluar mengundi awal, hargai petugas

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

MUAR:
Calon Perikatan Nasional, Abdul Aziz Talib mengucapkan terima kasih kepada semua petugas pada pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini khasnya di DUN Maharani.

Katanya, mereka telah pun bekerjasama dengan cukup baik terutamanya dari Selangor seramai 300 orang sepanjang dua minggu tempoh berkempen.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada jentera-jentera Perikatan Nasional yang telah bertungkus lumus sama-sama sepanjang dua minggu bermula daripada 26 Februari sehinggalah hari ini iaitu pada hari ini,” ujarnya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Parit Bakar. Beliau antara pengundi terawal memasuki pusat tempat mengundi sebaik dibuka jam 8.00 pagi ini.

- Advertisement -

Beliau berharap semoga semuanya berada dalam keadaan sihat dan mendapat keredaan Allah SWT dan dipermudahkan segala pergerakan dari awal hingga akhir.

Abdul Aziz yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Muar juga mengharapkan pengundi-pengundi di DUN Maharani supaya dapat keluar mengundi awal bermula jam 8 pagi supaya tidak berlaku kesesakan.

“Alhamdulillah cuaca pagi ini baik dan kepada pemuda terutamanya yang berada di luar negeri atau di luar DUN Maharani dapat balik mengundi menjalankan tugas ataupun tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia terutamanya di negeri Johor,” ujarnya lagi.

Ini, katanya kerana PRN kali ini sangat penting untuk memberikan isyarat membuat perubahan yang terbaik kepada kerajaan yang ada pada hari ini.

Tambahnya, ini supaya kerajaan yang ada sekarang tidak sesuka hati mengadakan pilihan raya dan melakukan beberapa perkara yang tidak diingini.

“Jadi apabila kita mengadakan isyarat ini mudah-mudahan kerajaan menyedari hakikat sebenarnya apa kehendak rakyat,” katanya

Pada PRN ini, beliau yang bertanding di DUN Maharani berhadapan dengan Muhammad Hanis Asmui Md Salleh (PBM), Noor Farah Shamsudin (BN-Umno), Nor Hayati Bachok (PH-Amanah), Riad Ahmad (Pejuang) dan Lim Kim Joo (Bebas).

Para pengundi muda yang berusia 18 hingga 20 tahun kali pertama mengundi pada PRN Johor kali ini.

Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar yang layak mengundi akan memilih kepimpinan kerajaan negeri yang baharu pada hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan sebanyak 1,021 pusat pada PRN ini yang telah dibuka sejak jam 8.00 pagi tadi.

Sebanyak 15 pusat mengundi pula akan ditutup pada 2 petang, manakala 41 pusat mengundi ditutup pada 4 petang. Pusat-pusat mengundi lain akan ditutup pada 6 petang.

SPR juga mengeluarkan 36,729 kertas undi pos sementara kira-kira 87 peratus atau 18,625 pengundi daripada kalangan anggota polis, tentera dan pasangan menjalankan tanggungjawab mengundi awal, pada Selasa lepas.

Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi DUN. – HARAKAHDAILY 12/3/2022

- Advertisement -