Penguasaan parti secara mutlak sukar lagi berulang

Dr Wan Nik Wan Yussof
- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung esok dijangka akan melahirkan koalisi politik baru sekiranya tiada parti yang menang secara mutlak.

Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, berdasar perkembangan semasa kempen kekuatan parti sekarang hanya tertumpu kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

- Advertisement -

Katanya, jangkaan awal kedua-dua gabungan politik tersebut akan mengulangi situasi yang berlaku sebelum ini, di mana kemenangan agak tipis.

“Sekiranya situasi itu berlaku koalisi baru diperlukan bagi membolehkan kerajaan dibentuk. Tidak dapat ditolak kemungkinan akan berlaku rundingan di luar pilihan raya.

“Perkiraan itu dibuat dengan mengambil kira separuh daripada lebih 700,000 pengundi baru keluar mengeluar mengundi. Ia akan memberi cabaran kepada Umbo/BN,” katanya pada webinar anjuran Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) hari ini.

Turut ditampil sebagai panelis Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir dari Akademi Tamadun Islam UTM Sekudai dan Prof Dr Riduan Tee Abdullah dari UniSZA. Pengerusi PINTAR Prof Dr Mohd Roslan Md Nor bertindak sebagai moderator.

Dr Wan Nik juga menganggap kerajaan tidak serius untuk memastikan pengundi Johor yang berada di Singapura pulang mengundi.

“Kerajaan sebelum ini mengumum membuka pintu sempadan pada 1 April ini, sedangkan difahamkan terdapat kira-kira 300,000 pengundi Johor yang bekerja di Singapura sekarang,” tambahnya.

Hujah tersebut juga dipersetujui Dr Riduan apabila menjelaskan politik penguasaan parti secara mutlak seperti sebelum 2018 sukar lagi berulang.

Katanya, gabungan parti yang bertanding sukar untuk mencapai majoriti besar seperti sebelum ini.

“Bagi saya ini satu perkembangan yang baik kepada demokrasi di negara ini kerana ada unsur check and balance, di mana parti yang menguasai kerajaan tidak boleh lagi melakukan sesuatu sesuka hati.

“Penguasaan secara mutlak seperti sebelum ini boleh mendorong kepada elemen negetif termasuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.

Dr Badlihisham pula mendedahkan dapatan kajian sebuah badan di mana 37 peratus pengundi muda tidak kisah terhadap parti mana yang akan mentadbir Johor selepas ini.

Katanya mereka tidak mengambil kisah terhadap perkembangan politik.

Bagaimanapun dapatan kajian itu memperlihatkan kecederungan anak-anak terhadap PN lebih tinggi berbanding BN.

“Kajian juga mendapati pengundi muda mendapat maklumat semasa daripada Instagram, Facebook, Tik Tok dan sebahagian kecil daripada media masa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/3/2022

- Advertisement -