Sikap penduduk lebih penting

- Advertisement -

BARU-baru ini pencapaian sebuah pangsapuri kos rendah di Kampung Pandan telah disiarkan di dalam televisyen dan telah menarik perhatian rakyat Malaysia. Mereka yang melangkah masuk ke pangsapuri tersebut, Pangsapuri Pandan Utama, dilaporkan akan merasai pengalaman seperti melangkah masuk ke sebuah hotel. 

Lobi lif pada setiap tingkat telah dihias dan diubahsuai agar setaraf dengan lobi lif sebuah hotel malah lebih indah lagi. Kebanyakannya dihiasi dengan perhiasan-perhiasan dan tanaman-tanaman yang menyejukkan mata dan dapat mewujudkan suasana yang tenang. Terdapat lobi di mana kemasan lantai dan dinding adalah terdiri dari jubin-jubin yang berwarna-warni.

- Advertisement -

Penduduk memberitahu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, satu pertandingan untuk menghias lobi lif telah dianjurkan. Memandangkan penduduk tidak dapat keluar berjalan-jalan atau pergi bekerja, tumpuan telah diberikan untuk mencantikkan lobi masing-masing. Akhirnya, walaupun hanya lobi lif yang dihias namun begitu usaha penduduk telah berjaya menceriakan blok pangsapuri tersebut.

Sebelum ini pangsapuri kos rendah sering kali dianggap sebagai bangunan yang kotor dan tidak berjaga. Sebut sahaja pangsapuri kos rendah ramai yang akan membayangkan bangunan yang penuh dengan sampah sarap yang dibuang merata-rata atau bangunan yang tidak diselenggara dengan baik dengan lif-lif yang rosak, paip-paip air yang pecah akibatnya air melimpah-limpah atau pendawaian elektrik yang telah usang dan menunggu masa untuk mencetuskan kebakaran.

Kejayaan penduduk Pandan Utama ini merupakan satu pembuka mata yang dapat menyedarkan kita bagaimana kesungguhan dan kerjasama penduduk dapat mengubah persekitaran mereka. Tidak ada yang mustahil jika penduduk mengenepikan segala perbezaan atau kepentingan diri semata-mata kerana mahu melihat perubahan berlaku. Pencapaian mereka sepatutnya dicontohi oleh bukan sahaja penduduk pangsapuri kos rendah yang lain tetapi juga taman-taman perumahan lain yang dibelenggu masalah.

Ketika saya merupakan Exco Perumahan di Selangor kami selalu memikirkan mengenai reka bentuk dan kemasan yang terbaik untuk memastikan kediaman yang dibina dapat memberikan kualiti yang hidup yang terbaik bagi rakyat. Walau bagaimanapun jika dikaji reka bentuk pembangunan berstrata kos tinggi seperti kondominium dan pembangunan berstrata mampu milik seperti pangsapuri kos rendah, tidak ada banyak perbezaan di antara kedua-duanya kecuali dari segi keluasan, kemasan dan kemudahan. Di atas kertas susah hendak membezakan kediaman kos tinggi dari kediaman mampu milik. Tetapi adakah reka bentuk bangunan sahaja yang akan menentukan kualiti hidup yang dinikmati oleh penduduk?

Reka bentuk adalah hanya sebahagian dari faktor penentu. Sikap penduduk sendiri kadang-kala adalah lebih utama. Jika penduduk tidak mementingkan kebersihan dengan membuang sampah merata-rata maka reka bentuk bangunan yang terkini sekalipun tidak akan mewujudkan suasana yang sejahtera untuk kehidupan. 

Walaupun penduduk membayar yuran penyelenggaraan yang tinggi dan ramai pekerja digaji untuk menjaga kebersihan tetapi jika tidak ada sikap tanggungjawab di kalangan penduduk maka persekitaran yang bersih tidak akan dapat dicapai. Mustahil untuk tercapai jika setelah kawasan dibersihkan, penduduk mengotorkannya semula. Tetapi sebaliknya jika penduduk mempunyai disiplin untuk menjaga kebersihan maka tidak perlu pekerja pembersihan yang ramai kerana setiap penduduk mengetahui tugas masing-masing.

Begitu juga dengan kerja-kerja penyelenggaraan. Jika penduduk menggunakan kemudahan-kemudahan secara tidak bertanggungjawab maka kemudahan-kemudahan yang mahal dan berkualiti tinggi sekalipun akan mengalami kerosakan dengan kerap. Tetapi jika penduduk mengambil tanggungjawab untuk sama-sama menjaga kemudahan-kemudahan yang disediakan dengan menggunakannya secara cermat maka kemudahan-kemudahan tersebut dapat bertahan lama dengan penyelenggaraan yang minima. Walaupun faktor kualiti adalah penting tetapi sikap penduduk seperti ketika menggunakan kemudahan seperti lif turut menjadi penentu.

Kita boleh membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menggantikan lif, mengecat bangunan atau menyediakan kemudahan baharu tetapi jika penduduk tidak bertanggungjawab segala usaha-usaha tersebut adalah sia-sia sahaja. Lif-lif yang baru ditukar akan rosak semula, dinding yang baru dicat akan diconteng sementara kemudahan-kemudahan yang disediakan akan menjadi mangsa vandalisme. 

Tumpuan juga perlu diberikan kepada memupuk semangat bertanggungjawab dan prihatin. Jika berjaya, pengawal-pengawal keselamatan tidak diperlukan untuk menghalang berlakunya vandalisme tetapi penduduk sendiri akan mengambil tanggungjawab tersebut. Kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak diperlukan kerana setiap penduduk adalah kamera bergerak yang akan mengawasi kawasan pembangunan mereka.

Pengalaman di Pandan Utama membuktikan betapa pentingnya kerjasama di kalangan penduduk. Semangat kekitaan di kalangan mereka telah membuahkan hasil yang dapat dilihat oleh dunia untuk dicontohi oleh semua. Kadang-kala duit bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan kejayaan tetapi keinginan dan kesungguhan penduduk merupakan faktor utama di dalam merealisasikan sebarang impian. Kita selalu membelanjakan wang yang banyak untuk meningkatkan prasarana walau bagaimanapun kita sering terlupa bahawa aset utama kita adalah manusia itu sendiri justeru kita perlu juga melabur untuk meningkatkan kualiti mereka.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD – HARAKAHDAILY 9/2/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/5192745297411092/

- Advertisement -