‘Sakit dan kematian bukan kerana usia’ – Ustaz Shahril

- Advertisement -

KUALA KRAU: ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz telah mengadakan kunjungan Ziarah Kasih menyantuni warga penduduk FELDA Jengka 15, di sini semalam.

Program yang telah menjadi rutin untuk turun bertemu, beramah mesra dan mengambil maklum perkembangan warga masyarakat ini bermula selepas sarapan pagi di Warung Mat Janggut di sini.

- Advertisement -

Antara fokus kunjungan beliau pada kali ini adalah berziarah dari rumah ke rumah telah dikenal pasti oleh pihaknya dalam kalangan penduduk yang sedang diuji dengan masalah kesihatan diri.

“Melihat beberapa orang yang sakit itu ada peringkat usia yang masih muda. Maka sakit dan kematian ini bukanlah kerana faktor usia, kerana ia tidak memilih usia,” ujar beliau melantunkan iktibar.

Beliau juga merasa simpati dan hiba kerana ada yang pada usia muda di awal 30-an mereka sudah menghidapi pelbagai penyakit, namun tidak menafikan semua penyakit datang dan penyembuhnya juga daripada Allah.

Beliau selain mendoakan mereka turut menitipkan saranan dan nasihat beliau agar sentiasa menjaga pemakanan dan gaya hidup sebab segala penyakit itu berpunca daripada perkara itu.

Turut hadir dalam Ziarah Kasih ini ialah Ketua Muslimat PAS Kuala Krau, Rohaya Razali dan Ketua PAS Cawangan Jengka 15, Rosdi Ismail serta Ahli Jawatankuasanya, Ustaz Rahim Abdul Rahman dan Timbalan Pengurus FELDA Jengka 15, Mohamad Faizul Zainul. – HARAKAHDAILY 9/2/2022

- Advertisement -