‘Kita mahu buktikan solat itu senang, mudah’

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sempena bulan solat kebangsaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, tekad untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa solat adalah perkara yang senang dan mudah.

Beliau yakin, umat Islam di Malaysia sedar bahawa solat adalah satu kewajipan kepada mereka yang menganut agama Islam, namun beliau juga sedar ramai yang mencari alasan untuk menunaikan rukun Islam yang kedua itu.

“Kita hendak memberikan kesedaran kepada orang bahawa solat itu senang, solat itu mudah. Itu matlamat daripada program, semua orang tahu solat itu wajib. Tiada sorang pun kata solat tidak wajib.

“Cuma kadang-kadang dia tak buat, alasan dia sebab kononnya baju kotor, berhabuk, dia tak jumpa surau, tak jumpa masjid, jadi kita ini hendak (tunjuk cara) mudah supaya mereka melihat Islam itu mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media, selepas selesai menghadiri Usrah Anak Muda anjuran radio Zayyan, di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), di sini, hari ini.

Datuk Idris Ahmad mengimamkam Solat Fardhu Maghrib, Isyak, dan Solat Hajat di perkarangan MaTiC.

Menurutnya, bulan solat kebangsaan bukan bererti umat Islam hanya perlu solat pada bulan itu sahaja, tetapi juga sebagai galakan kepada masyarakat.

Selain itu, bulan solat kebangsaan juga dibuat bersempena kedatangan bulan Rejab, yang merupakan bulan Islam yang menjadi titik mula bermulanya kewajipan solat, iaitu pada malam Israk Mikraj.

Katanya lagi, terdapat empat negeri yang bersedia untuk mengadakan bulan solat peringkat negeri, iaitu Kelantan, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Katanya, program sedemikian tidak terhenti di peringkat negeri sahaja, bahkan akan diteruskan sehingga ke peringkat kawasan dan kampung. – HARAKAHDAILY 8/2/2022

- Advertisement -