Lawatan menteri kukuhkan hubungan Persekutuan, Sabah

- Advertisement -

Oleh SUZIANA GHANI

LAHAD DATU:
Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad ke negeri ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menurutnya, pelbagai program kebajikan bersama agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang telah disusun sepanjang kunjungan Menteri merupakan satu manfaat kepada rakyat Sabah.

- Advertisement -

“Kami juga melihat, dengan lawatan ini merupakan petanda baik Kerajaan Persekutuan yang sentiasa dan tidak pernah melupakan rakyat Sabah dalam apa juga agenda pembangunan khususnya yang berkaitan dengan hal ehwal agama dan juga kemaslahatan rakyat.

“Sebab kalau kita lihat program yang disusun sepanjang berada di Sabah selama empat hari merupakan program-program menyantuni dan membantu rakyat bersama pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, yakin empat perkara itu boleh menjadi agenda besar dan itulah kunjungan kasih sayang yang dapat merealisasikan semangat Keluarga Malaysia tanpa ada sebarang prejudis terhadap mana-mana wilayah dalam negeri Sabah.

Ustaz Idris dalam lawatan kerja itu melibatkan program untuk rakyat sekitar Kota Kinabalu dan Lahad Datu bermula hari ini.

Pagi tadi, beliau telah merasmikan Multaqa Murabbi Peringkat Negeri Sabah yang diselaraskan oleh JAKIM dan menyerahkan bot sumbangan dalam Program Inspirasi Qaseh anjuran YaPEIM.

Ketibaannya semalam turut disambut oleh Dr Aliakbar dan barisan kepimpinan PAS negeri di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). – HARAKAHDAILY 27/1/2022

- Advertisement -