Banyak kawasan berisiko berlaku tanah mendap

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR:
Terdapat banyak kawasan berisiko tinggi di Selangor kemungkinan berlaku tanah mendap atau tanah runtuh.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Dato’ Ir Iskandar Abdul Samad berkata, pemeriksaan segera perlu dilakukan di samping pemantauan secara berterusan.

Katanya, kerajaan Selangor perlu mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuat pemeriksaan terperinci di kawasan berisiko tinggi berlaku runtuhan.

- Advertisement -

“Kajian perlu dilakukan di seluruh Selangor agar tidak berulang lagi kejadian tanah mendap demi keselamatan rakyat.

“Kami mengalu-alukan pengumuman pihak berkuasa, kajian akan dilakukan ke atas kawasan-kawasan di sekeliling tempat kejadian, namun ia belum lagi memadai.

“Kita bernasib baik kerana tidak berlaku sebarang kemalangan jiwa di Seri Kembangan semalam, tetapi kita mungkin tidak akan bernasib baik pada masa akan datang,” katanya pada kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan berlaku kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai sehingga menyebabkan banyak kenderaan terhumbang ke bawah cerun.

Malah Pegawai Daerah Petaling Dato’ Johary Anuar dilapor memberitahu kejadian itu merupakan kali kedua. Kejadian pertama berlaku pada 2017 di lokasi sama.

Iskandar juga berkata, kerajaan negeri perlu tegas mengawal pembangunan di kawasan berisiko bagi menjamin keselamatan rakyat.

“Pemaju-pemaju perlu diwajib memaklumkan pembeli-pembeli rumah terhadap risiko yang boleh berlaku apabila menetap di kawasan tersebut.

“Kita tidak mahu pembeli-pembeli rumah merasa tertipu apabila timbul masalah setelah mereka membeli kediaman di lokasi terbabit,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/1/2022

- Advertisement -