Warga emas tinggal di PPS selama seminggu

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Keluarga warga emas di Kampung Tersang, Gual Tok Deh terpaksa tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tol Deh selama seminggu kerana rumahnya ditenggelami banjir.

Kamariah Latiff, 82, berkata, banjir yang melanda kediamannya memaksa keluarganya berpindah ke PPS tersebut.

Katanya, banjir kali ini agak teruk kerana air naik secara mendadak.

- Advertisement -

“Jika nak dibandingkan dengan banjir 2014 yang kita kira banjir besar tetapi air tidak memasuki ke rumah makcik. Tetapi kali ini air naik sehingga paras pinggang.

“Makcik ambil keputusan berpindah sebab tidak jangka air naik sedalam seperti baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurutnya juga ketika banjir baru-baru ini beliau risau dua ekor biri-biri peliharaanya terpaksa ditinggalkan di rumah.

Kata beliau kerana memikirkan rumah ditenggelami banjir dan ternakan ditinggalkan menyebabkan tekanan darahnya meningkat.

Sementara itu, cucunya Hisrin Najihah Mohd Rodhi, 20, memberitahu, sejak pulang dari PPS, beliau dan suami bergilir mencuci pakaian yang terkena lumpur dan air banjir.

Katanya, walaupun basuh menggunakan mesin, namun mereka perlu mencuci terlebih dahulu lumpur yang melekat bagi memastikan ia benar-benar bersih. – HARAKAHDAILY 28/12/2021

- Advertisement -