Wang ihsan: RM34 juta sudah diagih kepada mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata dana yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir perlu dipermudahkan dan disegerakan.

Menurutnya, agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sudah mula diterima mangsa banjir semalam.

Katanya, sehingga semalam, kerajaan telah menyalurkan RM34 juta untuk diagihkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir.

- Advertisement -

Beliau menambah, Mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, membuat keputusan semalam, serahan tunai dilaksanakan bagi memastikan mangsa banjir segera menerima BWI.

Katanya, tiga kaedah digunakan bagi penyaluran BWI iaitu serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), serahan tunai rumah ke rumah atau pemindahan tunai secara atas talian (EFT).

“Bantuan ini sudah mula diagihkan di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana dengan kerjasama Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri,” ujarnya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata, usaha untuk mengesan mangsa yang belum berdaftar sedang giat dijalankan oleh PKOB dan ICU.

“Tiga kaedah yang digunakan akan mempermudah urusan penyaluran BWI dengan lebih efektif dan pantas,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/12/2021

- Advertisement -