Golongan B40 Perlis jaya misi bantuan banjir

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Misi Bantuan Banjir Jabatan Amal Malaysia Perlis, Khidmat Malaysia dan Perhubungan PAS Negeri ke Selangor turut ditaja rakyat golongan B40.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, misi tersebut membawa amanah dan sumbangan ahli PAS yang kebanyakan golongan sederhana.

Katanya, mereka pun golongan susah, namun atas dasar kebersamaan dengan kesusahan dengan mangsa banjir mereka tetap memberi sumbangan.

- Advertisement -

“PAS Perlis mengucap ribuan terima kasih kepada penyumbang yang turut menjayakan misi ini,” katanya ketika pelepasan rombongan delegasi berkenaan di Padang Majlis Perbandaran Kawasan (MPK), Simpang Empat hari ini.

Turut hadir Setiausaha PAS Perlis Baharudin Ahmad, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Asrul Aimran Abd Jalil dan Ketua Dewan Muslimat Nor Syahirah Salleh.

Delegasi terbabit membabitkan seramai 40 anggota bersama lima kenderaan pacuan empat roda, empat kereta dan sebuah lori.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, petugas hendaklah bersungguh-sungguh menjalankan tugasan kerana ia seumpama seperti pergi berjihad.

“Kita bawa amanah orang ramai atas rasa simpati mereka kepada mangsa banjir di Selangor. Setiap petugas perlu menjaga disiplin dan menyantuni mangsa banjir,” ujarnya.

Menurutnya juga rombongan kedua akan bertolak pada 27 Disember ini. – HARAKAHDAILY 24/12/2021

- Advertisement -