
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
BATANG LUPAR: Selepas berkempen selama 12 hari esok lebih sejuta pengundi di Sarawak akan melaksanakan tanggungjawab mereka memilih kerajaan baharu.
Hari ini adalah detik terakhir sebelum berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12. Begitu juga cabaran dihadapi calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Beting Maro dari PAS, Arifiriazul Paijo.
Calon PAS tunggal terbabit menggunakan sepenuh tenaga muda untuk melihat sendiri masalah rakyat termasuk di Kampung Batang Maro, yang terlibat dengan hakisan pantainya begitu teruk.
Seorang penduduk Ramli Marsidi, 51, mendakwa hakisan pantai di Jalan Pantai Batang Maro ke Kampung Paloh berlaku sejak beberapa tahun lalu dan minggu lepas semakin teruk.
Katanya, pihak berkuasa tempatan sebelum ini ada membuat benteng menggunakan beg guni pasir bagi menghalang ombak menerjah jalan raya.
“Kami buat aduan ketika hakisan tidak seteruk ini dan pihak berkuasa hanya membuat benteng daripada beg-beg guni pasir, yang disusun untuk menghalang ombak.
“Hari ini lihatlah sendiri habis rosak jalan sepanjang lebih 100 meter hingga terputus laluan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurut Ramli, beliau merayu kerajaan memperbaiki jalan dan membina benteng yang lebih kukuh kerana menyukarkan urusan penduduk di Kampung Paloh yang berulang-alik ke Batang Maro, Betong dan Pusa.
Katanya, wakil rakyat sebelum ini kurang mengambil peduli masalah rakyat dan pilihan raya negeri kali ini akan ditentukan oleh pengundi yang mahukan perubahan.
Rakannya, Masagus Ali, 60, turut mengesa pihak berkuasa segera mengatasi masalah jalan rosak akibat ombak besar setiap tahun di sepanjang jalan di kampungan tersebut.
Katanya, jalan yang rosak teruk sepanjang lebih 100 meter terputus kepada laluan semua kenderaan kereta kecuali motosikal.

“Penduduk membawa sendiri calon wakil rakyat untuk melihat hakisan yang berlaku untuk diketengahkan kepada pihak berwajib.
“Insya-Allah, kali ini kami (pengundi) di Batang Maro ini akan buat perubahan sebab wakil rakyat lalu sangat tidak ambil kisah dan peduli masalah rakyat,” jelasnya.
Menurutnya, masalah rakyat di Dun Beting Maro sangat banyak termasuk isu tanah penduduk yang tidak diberikan geran, ketiadaan bekalan air bersih, perparitan dan kebajikan.
Sementara itu Arif Paijo berkata, hakisan pantai yang menyebabkan jalan Kampung Paloh terputus akan diberi perhatian jika diberi mandat rakyat.
“Isu hakisan pantai yang berlaku di sini saya akan ketengahkan kepada pihak kerajaan jika saya diberi mandat oleh rakyat.
“Jentera kempen kita telah masuk ke semua tempat, lokaliti dan kampung untuk bertemu dengan rakyat terutama pengundi-pengundi Dun Beting Maro ini,” ujarnya.
Menurutnya juga hasil pertemuan dengan rakyat di Dun Beting Maro ternyata mereka mahu perubahan dengan kehadiran wakil rakyat yang lebih prihatin. – HARAKAHDAILY 17/12/2021




















