Pemuda PAS lahir pemidato hebat

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN


KUALA NERUS:
Kesemua peserta pidato yang menyertai pertandingan pidato Piala Presiden sempena ulangtahun PAS Ke-70 akan dibawa masuk ke Akademik Kepimpinan Pemuda (AKP).

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin, berkata peserta akan dilatih dalam akademik itu bagi melahirkan pemidato yang lebih mahir.

Menurutnya, antara tujuan pidato dianjurkan untuk mencungkil bakat baru dalam bidang berkenaan.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah pertandingan pidato di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, dekat sini hari ini.

Pada pertandingan itu, Mohammad Khairol Najmi Adnan muncul johan dengan mengalahkan sembilan lagi peserta lain melalui pidatonya yang berjodol 70 Tahun Penubuhan PAS: Kepentingan Perpaduan Terhadap Penubuhannya.

Tempat kedua dimenangi Mohd Sabri Mamat dengan tajuk pidato 70 Tahun PAS Di Persada Negara dan tempat ketiga Ahmad Mustaqim Azmi dengan tajuk ‘Anak Muda Tonggak Negara’.

Hanif juga berkata, pihaknya tidak menjangka penyertaan pidato mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Pidato ni bukan hanya soal kemampuan, sebaliknya keberanian perlu ada bagi setiap individu sebelum bakat mereka diketengahkan.

“Kerana itu mereka akan dibawa ke AKP untuk dilatih bagi menambahkan kemahiran pada mereka,” ujarnya.

Tambahnya, secara keseluruhan pihaknya berpuas hati dengan kemampuan peserta yang bertanding tersebut.

Beliau menambah, untuk meramaikan lagi golongan pemidato dalam kalangan pemuda, pihaknya akan menganjurkan pertandingan pidato melalui program lain. – HARAKAHDAILY 11/12/2021

- Advertisement -