
Oleh SALMAH MAT HUSAIN dan FAKRUSY SYAKIRIN
KUALA NERUS: Sambutan ulang tahun PAS ke-70 yang bermula hari ini didahulukan dengan program Kayuhan Basikal Monsun Ride, menerusi program Anak Muda, disertai lebih 500 peserta dari seluruh negara.
Musim tengkujuh di Terengganu tidak menghalang semangat anak muda untuk meneruskan program yang penuh bermakna itu.
Pengarah program, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kayuhan santai sejauh 20 kilometer itu diadakan bagi mempromosikan budaya dan gaya hidup sihat kepada masyarakat.
Katanya, ia sejajar dengan Terengganu sebagai negeri mendominasi sukan berbasikal di negara ini.
“Saya dimaklumkan sasaran peserta program ini seramai 200 orang sahaja, namun jumlah penyertaan meningkat sehingga 500 orang daripada pelbagai lapisan umur menyertai kayuhan bermula di perkarangan Stadium Sultan Mizan, Gong Badak.
“Turut menyertai acara itu bintang pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh yang turut memeriahkan lagi aktiviti rekreasi di samping merasai pengalaman berlumba dalam suasana Monsun Timur Laut,” katanya.
Beliau ditemui selepas acara pelepasan Kayuhan Basikal Monsun Ride di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, pagi tadi.
Menurutnya juga peserta dalam dan luar negeri menyelusuri mercu tanda Terengganu seperti Jambatan Angkat (Drawbridge), menuju Pasar Payang, Kampung Cina dan lain-lain lagi.
“Tahniah buat Dewan Pemuda PAS Terengganu yang berjaya menganjurkan program Monsoon Ride pagi ini dengan penyertaan yang begitu memberangsangkan meski pun dalam waktu yang singkat,” katanya.
Sempena program bersejarah ini, pelbagai acara diadakan menerusi program Anak Muda antaranya, Konvoi Bermotor, Pertandingan Penalti, Pameran Kenderaan 4×4, cabutan bertuah, pertandingan pidato, Himpunan Semut Merah dan lain-lain.
Biarpun hujan membasahi Kuala Nerus, namun cuaca yang kembali baik pada pagi ini membuatkan majlis berjalan lancar.

Program kedua selepas kayuhan basikal, akan diadakan pertandingan pidato. Program akan berlangsung sehingga malam ini di lokasi sama. – HARAKAHDAILY 11/12/2021




















