
KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah ini merupakan program kedua saya menyantuni Keluarga Malaysia,” ujar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.
Beliau pada hari ini menyampaikan Bakul Makanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kepada golongan asnaf di Masjid Sallehuddin Al Ayubi, Taman Melati dan JAWI Foodbank di Masjid Kampung Baru kepada asnaf.
Menurutnya, ia satu inisiatif bagi pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam serta sosioekonomi ummah.
Tambahnya, tidak ketinggalan pemantapan institusi masjid dan surau bagi menyantuni masyarakat yang terkesan akibat Covid-19 sepertimana ucapan sulung beliau sebelum ini.
“Saya peringatkan diri saya dan semua, hendaklah kita menjaga hak Allah, pasti Allah menjaga kita,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau juga menyeru supaya mendekatkan diri dengan Allah SWT dan yakin bahawa rezeki datang daripada Allah SWT sementara manusia hanya perantara.
“Semoga Allah SWT merahmati kehidupan serta memberkati rezeki kita dan mengangkat darjat kita di sisi-Nya,” ujarnya.
Idris mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kedua-dua majlis agihan bakul makanan kepada golongan asnaf itu. – HARAKAHDAILY 4/9/2021











