
Oleh AIN MANAF | Foto RIZAL TAHIR
KOTA BHARU: Kelantan menjangkakan seluruh masjid di negeri ini akan dibuka kepada orang ramai dalam tempoh dua minggu lagi.
Bagaimanapun ia perlu diambil kira kes harian Covid- 19 di negeri itu dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pembukaan masjid juga harus dilihat peningkatan jumlah vaksinasi dalam kalangan rakyat.
Katanya aspek kesihatan perlu diutamakan sebelum masjid dan surau dibenar dibuka.
“InsyaAllah, kita tengok nanti dalam masa sehari dua lagi, sekiranya kes semakin turun masjid akan dapat dibuka tidak lama lagi.
“Bagaimanapun, kita ambil kira juga jumlah harian kes, kadar vaksinasi dan keadaan fasiliti kesihatan berada dalam keadaan baik. Tiga perkara ini sebagai nilai ambang bagi membuka kembali masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijang di Sekolah Menengah Ugama Arab (SMU) Istiqamah Badang di sini semalam.
Mengulas lanjut katanya, sekiranya tiga nilai ambang itu dilihat bertambah baik pihaknya menjangkakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mempertimbangkan.
Dr Izani juga berkata, program outreach Dun Kijang itu menyasarkan antara 2,000 hingga 3,000 penduduk di kawasan Dun berkenaan.
Katanya, dengan adanya program outreach ia dapat memudahkan penduduk tempatan mendapatkan suntikan, selain dapat mempercepat proses pemberian vaksin kepada rakyat.
“Berdasar pemerhatian dan data pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini ia dapat dirumuskan rakyat Kelantan secara sukarela sedia menerima vaksin sekaligus tidak timbul lagi antivaksin.
“Tidak dinafikan pada peringkat awal mungkin ada mereka yang antivaksin tetapi kita tengok hari ini ramai datang secara sukarela bagi menerima suntikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2021











