Tumpuan cari mangsa keenam tragedi kepala air

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) memberi tumpuan mencari mangsa keenam tragedi kepala air Gunung Jerai apabila mayat kelima sudah ditemui petang semalam.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, mayat kelima yang dikenali sebagai Ku Shuib Ku Abdullah, 91, dijumpai di bawah timbunan kayu di kawasan Titi Hayun kira-kira jam 3.23 petang.

- Advertisement -

Menurutnya jasad bekas imam masjid itu masih berada dalam keadaan baik dan ditemui dalam keadaan mengiring menghadap kiblat kira-kira satu kilometer dari kediamannya di Chalet Salak Denai.

“Cuma terdapat sedikit kesan calar tetapi tiada luka serius walaupun telah dihanyutkan arus deras bersama batang pokok dan kayu besar empat hari lalu,” jelas beliau.

Justeru itu katanya lagi, SAR akan meneruskan pencarian mangsa terakhir di kawasan Titi Hayun.

Sebelum ini disahkan empat mangsa dijumpai terkorban pada kejadian pada jam 5.30 petang, 18 Ogos lalu.

Mangsa berkenaan dikenali sebagai Ahmad Din, 68, ditemui di Kampung Setoi manakala Shahruzi Mohamad, 53, di Kilometer lapan, Gunung Jerai kira-kira jam 11.00 malam pada hari kejadian.

Sementara mangsa ke tiga dan ke empat ditemui selepas sehari kejadian iaitu pada Khamis lalu.

Zainol Murad, 66, ditemui di Kampung Titi Hayun pada jam 12.30 tengah malam manakala Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, di Kampung Keda Sungai Udang kira-kira enam kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -