
Oleh SARINA ISMAIL
YAN: Nor Nazinatul Aqilah Nazri, 26, tidak menyangka panggilan telefon suaminya pada petang 18 Ogos itu adalah kali terakhir sebelum ia hilang dibawa arus.
“Saya hanya sempat mendengar suami saya mengatakan ada pokok besar tumbang, tetapi belum sempat saya balas, talian terputus,” katanya kepada Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit ketika lawatan ke rumahnya semalam.
Bermula saat itu, kata beliau hatinya tidak tenteram memikirkan hal suaminya sama ada masih selamat atau tidak.
Suaminya Mohd Faizal Zohir, 28, memang kerap kali menghubunginya melalui panggilan telefon walaupun ketika waktu bekerja.
Pada hari kejadian, arwah sempat menghantar beberapa video merakamkan keadaan pada petang itu.
“Debar hati saya hanya Allah yang tahu. Isteri mana yang tak sedih memikirkan nasib suami ketika itu.
“Selepas talian dengan suami saya terputus, saya terus menghubungi pihak berkuasa melaporkan keadaan suami saya,” tambah beliau lagi.
Sepanjang misi pencarian itu, beliau tidak putus berdoa agar suaminya ditemui selamat.
Namun ujarnya lagi, ketika dimaklumkan mayat suaminya dijumpai pada keesokan harinya, hatinya reda dan pasrah dengan ketentuan Allah.
“Saya reda dengan ketentuan Allah ke atas saya cuma sedih dengan keadaan anak-anak saya yang sangat rapat dengan arwah ayahnya,” ujarnya agak sebak.
Cuma katanya di saat ini beliau memikirkan bagaimana untuk membesarkan dua orang anaknya yang berusia empat dan satu tahun tanpa suami di sisi.
“Lebih menyayat hati mereka (anak-anak) asyik bertanya berkenaan ayahnya sedangkan mereka masih kecil untuk memahami keadaan sebenar,” katanya lagi.
Mohd Faizal Zohir, antara lima mangsa setakat ini yang dijumpai terkorban pada tragedi kepala air di Gunung Jerai, Rabu lalu.
Mayatnya dijumpai di Kampung Kuala Keda Sungai Udang pada 19 Ogos lalu.
Sementara itu Ustaz Sabri berharap agar keluarga mangsa bersabar dan membanyakkan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan semua urusannya.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga terbabit. – HARAKAHDAILY 23/8/2021











