Nikmat tanda bahagia atau sebaliknya

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Umat Islam wajar bermuhasabah untuk melihat sama ada nikmat yang dikecap merupakan tanda bahagia sebenar ataupun kesengsaraan tanpa disedari.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, perbuatan itu secara tidak langsung dapat meningkatkan keimanan serta ketaqwaan diri terhadap Allah SWT.

- Advertisement -

Ujarnya tanda seseorang itu beroleh bahagia apabila sering merenung dosa-dosa lalu, memohon keampunan Allah dan melupakan segala kebaikan yang dilakukan terhadap orang lain.

“Muhasabah kembali dosa-dosa lampau atas tujuan memohon keampunan bukannya untuk bermegah. Kalau masih megah dengan dosa itu bukan tanda bahagia tetapi itu tanda sengsara.

“Begitu juga dengan kebaikan yang kita lakukan terhadap orang lain. Lupakan tak perlu ungkit-ungkit. Tetapi kebaikan orang lain terhadap kita, yang itu kena ingat,” katanya dalam tazkirah 30 minit menerusi Program Vitamin Rohani secara di atas talian, anjuran Dewan Muslimat PAS Kedah, hari ini.

Ujarnya, terhadap setengah golongan yang menjadikan dosa-dosa lamanya sebagai kehebatan tanpa ada rasa insaf untuk memohon keampunan ke hadrat Allah.

Di samping itu katanya, melihat kelebihan orang lain dari segi amalan-amalan baik akan membuatkan diri terasa kurang dan banyak kelemahan.

“Hendak tingkatkan amalan kena tengok orang yang lebih dari kita bukannya yang kurang dari kita. Tetapi dalam urusan dunia, perlu melihat insan-insan yang lebih daif dari kita, baharulah timbul rasa syukur di atas nikmat yang Allah beri kepada kita selama ini,” tambah beliau lagi.

Ashah yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah mengharapkan agar amalan para ulama dan tuan-tuan guru dijadikan contoh dan ikutan.

Sementara itu, beliau turut mengajak hadirin yang mengikuti program pagi itu agar mengambil iktibar dengan bencana wabak Covid-19 yang meragut ribuan nyawa di negara ini.

“Hari-hari kita dengar ada kematian. Rakan-rakan kita, sanak saudara kita. Oleh itu kita semua juga perlu bersedia kerana tidak tahu bila pula giliran kita.

“Nombor dah ada cuma tak tahu bila Allah nak panggil,” katanya lagi.

Program Vitamin Rohani akan bersiaran seminggu dua kali secara di atas talian bermula jam 8.15 pagi hingga 8.45 pagi.

Pengisian 30 minit itu akan menampilkan para kepimpinan dewan berkenaan secara bergilir-gilir dan membicarakan isu-isu mahupun takzirah yang bersesuaian untuk santapan rohani. – HARAKAHDAILY 8/8/2021

- Advertisement -