Anggota Amal sanitasi rumah keluarga mangsa Covid-19

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Atas kesedaran mencegah lebih baik daripada mengubati lima anggota Jabatan Amal Bachok mengambil inisiatif untuk melaksanakan sanitasi terhadap keluarga yang disahkan positif Covid-19 secara percuma.

Timbalan Pengarah Jabatan Amal Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, pihaknya turut melakukan proses tersebut di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Pusat Khidmat Dun.

“Selain kediaman penduduk yang keluarga mereka dijangkiti Covid-19, kita melakukan sanitasi di PPV di Bachok serta pejabat wakil rakyat yang dilakukan sejak Jun lalu.

- Advertisement -

“Kami berharap mendapat kerjasama orang ramai bagi memaklumkan keluarga yang terlibat dengan wabak tersebut dapat dilakukan proses sanitasi dengan segera,” katanya di sini semalam.

Mohd Firdaus yang juga Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Bachok bersama Adun Jelawat Abdul Azziz Kadir sebelum itu meninjau proses sanitasi di kediaman penduduk di Kampung Belukar Keting.

Pasukan khas sanitasi itu diketuai Kamandan Jabatan Amal Bachok, Radhi Zakwan Ab Rahman turut melakukan sanitasi di Kampung Gong Tungai Gunong selepas mendapat maklumat daripada penghulu mukim berkenaan Syukri Radzi.

Menurutnya juga semua anggota masyarakat hendaklah menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan arahan kerajaan supaya pandemik Covid-19 dapat berakhir dengan segera.

Abdul Azziz pula menyifatkan kerja-kerja sanitasi yang dibuat Jabatan Amal sebagai satu amanah yang besar ketika pandemik Covid-19 mengakibatkan kehidupan harian rakyat terjejas.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Amal Bachok membuat sanitasi dari rumah ke rumah keluarga penduduk disahkan positif Covid-19.

“Ia merealisasikan satu tugas dan tanggungjawab yang besar dalam masa Covid-19 sekarang kerana ia dapat meringankan beban penduduk,” katanya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Bachok. – HARAKAHDAILY 12/7/2021

- Advertisement -