Persatuan Ulama doa PM cepat sembuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mendoakan kesihatan lebih baik kepada Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang Dipertua PUM, Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, pihaknya mendoakan agar diberikan kesembuhan kepada perdana menteri dan dapat kembali semula bertugas memimpin negara.

“Kami turut mendoakan kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan kepada seluruh rakyat Malaysia daripada wabak Covid-19 yang sedang melanda di seluruh dunia.

- Advertisement -

“Kita perlu bersama dalam menangani Covid-19 dan terus berwaspada dengan perkembangan semasa. Ini terutamanya apabila World Health Organization (WHO) menyatakan terdapat varian baru Covid-19 yang cepat tersebar,” katanya pada kenyataan di sini hari ini. 

Pada 30 Jun lalu perdana menteri dimasukkan ke hospital dan masih menerima rawatan akibat jangkitan pada sistem penghadamannya.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini tiada bukti menunjukkan masalah tumor lama yang dihidapi Muhyiddin berulang.

Bagaimanapun katanya atas nasihat pasukan doktor, beliau kini berada di hospital untuk terus mendapatkan rawatan antibiotik intravena.

Syeikh Abdul Halim turut mengajak umat Islam sama-sama menadah tangan bermunajat dan berdoa bagi memohon diberikan kesihatan dan kesejahteraan.

“Ya Allah, Tuhan bagi manusia, hilangkanlah sakit (ini), sembuhkanlah ia, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan (dari)-Mu, kesembuhan yang tidak ada sakit selepasnya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 4/7/2021

- Advertisement -