PGA rampas lori bawa 20 lembu jantan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

PASIR MAS:
Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 20 ekor lembu jantan pelbagai warna dipercayai baka Brahman yang dianggarkan bernilai lebih RM252,000.

Lembu terbabit dirampas ketika anggota PGA7 membuat rondaan dan telah mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

- Advertisement -

Nilai keseluruhan rampasan itu berjumlah RM477,000 termasuk sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut lembu terbabit.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata kejadian itu berlaku di jalan Kampung Repek kelmarin pada jam 6.30 petang.

Kata beliau anggota PGA menahan lori berkenaan serta dua lelaki berusia 47 dan 57 tahun untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori menemui kesemua lembu jantan pelbagai warna.

“Anggota PGA kemudian meminta pemandu mengemukakan dokumen serta permit perjalanan membawa ternakan berkenaan,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Tambah Azhari, berdasarkan dokumen berkenaan, terdapat keraguan yang dikenal pasti iaitu tiada dinyatakan nombor ‘seal’, selain tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Sehubungan itu, jelasnya dua lelaki berkenaan ditahan, manakala kesemua ternakan dan lori dirampas dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi tindakan lanjut.

Menurutnya juga kes itu turut diserah kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Sekyen 36 (1) Akta Binatang 1953. – HARAKAHDAILY 30/6/2021

- Advertisement -