Patah cubaan seludup barangan subsidi ke negara jiran

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup 750 liter petrol dalam operasi di Kampung Belukar, Wakaf Bharu baru-baru ini.

Operasi tersebut dijalankan bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) melibatkan rampasan bernilai RM1,537.50.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, semasa rondaan dan pemantauan dijalankan, pasukan menahan sebuah kenderaan jenis Proton Gen-2 yang dalam keadaan mencurigakan di Kampung Belukar, Wakaf Bharu.

Bagaimanapun kata beliau pemandu terbabit berjaya melarikan diri.

“Pada pemeriksaan ke atas kenderaan itu kami menemui 30 tong plastik berisi minyak petrol beranggaran 25 liter setiap tong berada di tempat duduk penumpang yang diubah suai.

“Keseluruhan rampasan petrol dianggarkan 750 liter bernilai RM1,537.50 dipercayai cuba dibawa ke negara jiran,” ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya kereta berkenaan yang bernilai RM10,000 turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan dan tindakan selanjutnya akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

KPDNHEP Kelantan turut menerima empat serahan kes daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 melibatkan rampasan barangan kawalan minyak masak dan tepung gandum dengan anggaran 3,322 kilogram dengan nilai rampasan sebanyak RM7,700 serta tiga kenderaan bernilai RM15,000.

Katanya, kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa dijalankan bagi memastikan penyeludupan pelbagai barang kawalan dapat dibanteras.

Menurutnya, semoga dengan cara itu rakyat di negara ini dapat menikmati sepenuhnya subsidi yang dibekalkan kerajaan tanpa diambil kesempatan mereka yang tidak bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 30/6/2021

- Advertisement -