UMMAH gesa pinda akta jamin kesucian agama Islam

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyokong penuh ketetapan dan persetujuan mesyuarat jawatankuasa task force untuk melaksanakan tindakan tegas bagi menangani isu agama secara umum dan promosi gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di media sosial.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkaitan isu penghinaan agama dan promosi gaya hidup LGBT yang berleluasa.

- Advertisement -

Tegasnya, sudah sampai masanya pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempercepatkan cadangan pindaan Akta Tatacara Jenayah Syariah 1997, Akta 560 bagi membolehkan tindakan undang-undang dilaksanakan kepada mana-mana pihak yang menghina agama dan mempromosi gaya hidup songsang LGBT.

“Ini bertujuan bagi menjamin kesucian Agama Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, dan juga menjaga keharmonian agama dan kaum bagi memperkukuhkan perpaduan nasional dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ahmad Marzuk Shaary berkata tindakan tegas secara bersepadu dalam kadar segera dilaksanakan bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup LGBT khususnya di media sosial.

Beliau menyatakan perkara itu setelah selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Menangani Isu LGBT yang diurusetiakan oleh JAKIM.

Katanya, antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Menurutnya, Task Force Menangani Isu LGBT itu diwujudkan selari dengan Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM.

Tambahnya, tujuan mesyuarat khas semalam ialah untuk membincangkan secara khusus berkenaan penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, bulan Jun dianggap sebagai Gay Pride Month di mana gerakan LGBT di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, sedang mempromosi gaya hidup mereka secara terbuka sama ada melalui perarakan atau media massa termasuk media sosial.

“Justeru, kita mendapati ada pihak tertentu yang memuat naik status dan grafik yang menghina agama Islam di media sosial tertentu dalam usaha mereka mempromosi gaya hidup LGBT,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/6/2021

- Advertisement -