DUPP sokong tindakan tegas, bersepadu tangani LGBT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyokong penuh mesyuarat Jawatankuasa ‘Task Force’ melaksanakan tindakan tegas dan bersepadu untuk menangani isu agama secara umum, dan promosi gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di media sosial.

- Advertisement -

Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, hal ini kerana pengaruh LGBT itu akan merosakkan masyarakat dan individu yang terpengaruh dengan aktiviti tersebut.

Jelas beliau, dalam sejarah Islam Allah SWT memaparkan di dalam Al-Quran melalui ayat yang berbagai-bagai menceritakan bagaimana munculnya satu kaum di bumi Syam atau Jordan sebagai kaum Luth lalu Allah SWT memurkai kaum ini.

“Allah tidak memberi keistimewaan ataupun membiarkan mereka, tidak. Allah SWT membalik bumi dan menelan kaum Luth, di mana kaum ini sebagaimana yang diketahui umum mereka melepaskan hawa nafsu sesama lelaki dan mereka tidak mencari wanita lalu Allah SWT memurkai mereka,” katanya.

Jelas beliau lagi, kejadian asal manusia yang diciptakan oleh Allah SWT adalah berpasangan iaitu lelaki dan perempuan.

“Sebagaimana firman-Nya, ‘Wahai sekalian manusia kami menciptakan kamu terdiri daripada golongan lelaki dan perempuan supaya kamu saling kenal mengenali di antara satu sama lain dan orang yang paling dimuliakan oleh Allah SWT adalah orang yang paling bertakwa.

“Menunjukkan kepada kita bahawa Allah mencipta, dalam ayat lain Allah jadikan manusia ini berpasangan, binatang ada jantan dan betina, manusia ada lelaki dan perempuan.

“Kalau kita baca dalam perbahasan hukum-hukum feqah, di sana ada istilah khunsa musykil sebagai contoh iaitu orang yang dilahirkan secara asal yang mempunyai dua kemaluan tetapi dibincangkan dalam kitab feqah, mana keperluan yang lebih berfungsi kalau lelaki maka lelakilah dia.

“Allah SWT tidak membenarkan kepada manusia ini hidup di awang-awangan sebab Allah mencipta manusia dan Allah yang Maha Mengetahui.

“Kita perlu ingat bahawa di dalam Islam ini Allah SWT minta supaya setiap manusia ini balik kepada fitrah dia sendiri.

“Manusia yang diciptakan oleh Allah SWT supaya berkahwin dan perkahwinan ini boleh melahirkan zuriat dan keturunan manusia.

“Macam mana kita nak membenarkan LGBT? Seseorang itu daripada lelaki nak berpindah sifatnya menjadi perempuan lalu dia mahu berkahwin sesama jenisnya sedangkan dia lelaki, macam mana dia hendak melahirkan zuriat?” soalnya.

Justeru itu, kata Nik Zawawi, beliau sangat bersetuju dengan Mesyuarat Khas Task Force yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Marzuk Shaary yang merupakan satu tindakan yang perlu untuk memastikan kehidupan anak bangsa terhindar daripada aktiviti sumbang tersebut. – HARAKAHDAILY 25/6/2021

- Advertisement -