Adun pujuk rakyat sertai program vaksinasi

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kelantan mengarahkan semua wakil rakyat supaya memainkan peranan lebih besar bagi memastikan masyarakat turut menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, langkah itu dilakukan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memupuk kesedaran untuk menerima vaksin Covid-19.

“Kita mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengadakan kempen secara maya atau paparan secara billboard serta mengambil peluang untuk bercakap mengenai kempen kesedaran untuk dapatkan vaksin.

- Advertisement -

“Kita mahu bukan sahaja daftar tetapi bila dapat giliran supaya hadir kerana dengan program tersebut dapat merealisasi usaha kerajaan untuk mengurangkan lagi jangkitan baru dan menghenti rantaian wabak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II ke Famche Enterprise di Kampung Mentuan, Binjai di sini hari ini.

Turut hadir anggota Exco Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Kelantan, Ir Zainuddin Zakaria @ Zahari.

Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, kerajaan pusat turut memperuntukkan RM20,000 bagi melaksanakan kempen vaksinasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasa 25 Mei lalu.

Katanya, usaha itu dilakukan dari rumah ke rumah dengan kerjasama pimpinan akar umbi seperti penghulu bagi memujuk penduduk yang setuju seterusnya didaftarkan di bawah program tersebut dan menerima vaksin.

“Dalam suasana sekarang kita minta semua wakil rakyat supaya mencari kaedah baik menelefon, pertemuan secara maya dan sebagainya agar kempen dapat mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan.

“Kita juga menyeru semua pihak yang benar bertanggungjawab jangan sebarkan dakyah anti vaksin kerana tindakan itu akan merugikan rakyat kita sendiri,” jelas beliau.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin memberitahu hampir 10,000 rakyat Kelantan yang sudah mendaftar bagi fasa kedua tidak menhadiri temujanji yang ditetapkan untuk menerima suntikan dos kedua. – HARAKAHDAILY 28/5/2021

- Advertisement -