
KUALA LUMPUR: Gambaran diberikan kerajaan Selangor berhubung situasi Covid-19 di negeri itu berada di tahap terbaik disifatkan sangat melucukan dan menghairankan, kata Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim.
“Atas ukuran apa (pengurursan Covid-19 di Selangor berada) pada tahap baik sedangkan rakyat menanggung derita jangkitan di seluruh pelusuk negeri? Soal yang paling utama sekarang adalah keselamatan dan nyawa rakyat Selangor.
“Jangan perjudikan (nyawa rakyat Selangor) semata-mata ego tidak mahu bersama agenda pengurusan Covid-19 perancangan peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya mempertikaikan kenyataan yang diberikan kerajaan negeri itu yang dilihat tidak seiring mengambil kira situasi Covid-19 di Selangor.
Menurut beliau, Selangor perlu menangani penularan jangkitan pandemik Covid-19 secara bersama dengan Kerajaan Persekutuan khususnya bersama rakyat secara amnya.
Jelasnya, walaupun Selangor merupakan sebuah negeri yang maju, mempunyai banyak sektor perindustrian, menawarkan peluang pekerjaan yang lumayan serta menjana ekonomi negeri, namun ia tidak akan menjadi seindah itu sekiranya jangkitan Covid-19 menular dalam kalangan pekerja.
“Jika pekerja terkena jangkitan ini, tiada lagi kebanggaan negeri maju dan tiada lagi kemampuan melahirkan pekerja untuk survival sektor berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
“Peningkatan jangkitan kes Covid-19 di seluruh negara amat menggerunkan terutama di Selangor yang mencatatkan antara kes negeri tertinggi sejak dari awal pandemik.
“Semalam seluruh negara mencatat hampir angka 7,000 kes antara yang tertinggi dan Selangor sahaja hampir satu pertiga dari keseluruhan kes iaitu 2,000 kes lebih. Keadaan ini sememangnya membimbangkan semua pihak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Selangor menyahut kempen dan seruan Kerajaan melalui Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisyam Abdullah yang merayu agar rakyat melakukan kawalan kendiri atau self-lockdown bagi menyekat penularan Covid-19.
“Saat ini, langkah terbaik untuk melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 ini adalah self-lockdown buat sementera waktu bagi meredakan keganasan penularan wabak ini.
“Jangan ada pihak yang pentingkan diri sendiri. Baik dari pihak rakyat, yang bekerja dengan kerajaan atas swasta mahupun kerajaan negeri atau Persekutuan. Begitu juga istilah golongan kayangan atau marhain.
“Hakikatnya wabak Covid-19 ini tidak kenal kedudukan seseorang. Hargai jiwa sendiri dan orang sekeliling,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor enggan menyatakan pendiriannya enggan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh sekrianya diberi pilihan kerana menganggap kadar kebolehjangkitan Covid-19 di negeri itu masih rendah berbanding negeri lain iaitu Kelantan dan Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awan Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, bagi menyekat penularan Covid-19 di negeri itu, memadai dengan menambah baik beberapa aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, Kerajaan Selangor kini berada dalam tahap baik menguruskan wabak covid-19.
Jelasnya lagi, adalah tidak adil untuk menilai situasi jangkitan di Selangor hanya dengan berdasarkan angka kerana populasi penduduk negeri itu yang lebih ramai berbanding negeri lain. – HARAKAHDAILY 25/5/2021











