
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor membidas kebiadaban Ahli Dewan Negeri (AND) Kota Anggerik, Najwan Halimi berhubung tulisan di laman Twitternya.
Timbalan Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, perkara itu boleh dibaca di Twitternya yang seolah-olah cuba mendatangkan kebencian rakyat kepada Raja Permaisuri Agong.
Menurutnya, Najwan juga adalah pereka bendera Sang Saka Malaya yang mencetuskan kontroversi pada tahun 2012.

Beliau berkata, istilah di laman Twitter Najwan iaitu qu’ils mangent de la brioche atau maksudnya ‘biarkan mereka makan kuih’ adalah kalimah yang meletuskan kemarahan rakyat sehingga terjadi Revolusi Perancis sehingga membunuh raja dan keluarganya.
“Makanan yang disediakan oleh Permaisuri Agong adalah pada frontliners untuk menghargai mereka.
“Kerisauan saya ianya adalah bibit permulaan untuk mencetuskan kebencian rakyat kepada Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa Najwan Halimi memadamkan ciapan di Twitternya dan membuat permohonan maaf kepada Raja Permaisuri Agong.
Shukri juga memohon pihak Polis Diraja Malaysa (PDRM) mengambil tindakan segera berhubung perkara itu. – HARAKAHDAILY 25/5/2021











