Pelaksanaan PKP 3.0 ambil kira situasi rakyat, negara

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

ALOR SETAR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 merupakan antara salah satu usaha Kerajaan Persekutuan menangani masalah penularan wabak Covid-19 yang dilihat semakin meningkat saban hari.

- Advertisement -

Segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan adalah berkait rapat dengan perkembangan virus terbabit selain mengambil kira keadaan negara dan masyarakat.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya juga berkata, pelaksanaan itu sememangnya mempunyai alasannya tersendiri selain mengambil pandangan pelbagai sudut.

“Ada pihak yang hendakkan ‘lockdown‘ sepenuhnya seperti PKP 1.0 tetapi kita harus faham setiap perlaksanaan PKP mengambil kira dari pelbagai sudut termasuklah nyawa dan ekonomi.

“Kedua-dua itu (nyawa dan ekonomi) berkait rapat. Selamat nyawa sahaja, ekonomi tak selamat. Rakyat tidak ada benda nak makan pula.

“Jadi kerajaan mengambil kira kedua-duanya agar keadaan menjadi terbaik,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Namun Ahli Dewan Negara itu tidak menolak ada suara-suara yang mengatakan kerajaan sekarang gagal menanganinya walau pun pelbagai pendekatan dilakukan.

Dalam hal itu, Ahmad suka mengingatkan rakyat khususnya di Kedah agar memahami jangkitan virus itu berlaku secara rantaian dan sukar dikawal sekiranya kerjasama dari semua pihak gagal diperolehi.

“Covid-19 ini berantai, tak boleh dikawal dan sukar dihentikan melainkan semua pihak bersatu hati mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan untuk menghindari rantaian itu merebak,” tegas beliau lagi.

Justeru itu, PKP 3.0 ini berjalan, rakyat juga perlu bertindak melakukan ‘self lockdown‘ (kawalan kendiri) yang dlihat dapat membantu memutuskan rantaian wabak ini.

Kerjasama ini katanya amat perlu agar rakyat bertindak menjadi pemutus dan bukannya pencetus.

Sementara itu dalam hal lain, beliau juga berharap agar semua pihak khususnya umat Islam memperbanyakkan istighfar, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW serta menghidupkan kembali sunnahnya.

“Hal ini bersesuaian dengan ayat Allah di dalam surah An-Anfal ayat 33 yang mengatakan dua keadaan yang tidak akan menerima azab Allah iaitu kepada kaum yang bersamanya adanya nabi dan orang yang sentiasa beristifar memohon keampunan terhadap-Nya,” sambung beliau lagi. – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -