Kerajaan, pembangkang perlu cari penyelesaian bersama

- Advertisement -

KANGAR: Sungguhpun negara berhadapan dengan krisis kesihatan akibat gelombang ketiga penularan Covid-19, setiap pemimpin dari parti kerajaan mahupun pembangkang serta seluruh rakyat mesti bersikap postitif dalam memain peranan masing-masing.

Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, pihak kerajaan dan pembangkang perlu bersama mencari jalan penyelesaian di samping keterlibatan badan professional dalam bidang kesihatan dan ekonomi yang lain.

- Advertisement -

“Cari jalan untuk selesaikan permasalahan ini, wujudkan pasukan petugas yang melibatkan semua pihak sama ada dari parti kerajaan mahupun pembangkang beserta badan profesional dalam bidang kesihatan dan ekonomi memandangkan jumlah peningkatan kes yang semakin parah.

“Sudah tiba masanya pihak kerajaan dan pembangkang bersama-sama berganding bahu dalam isu ini, jangan hanya mencari salah mana-mana pihak,” katanya.

Menurutnya lagi, masalah yang berlaku terutamanya isu kesihatan ini boleh diselesaikan sekiranya semua pihak memberi kerjasama dan saling membantu.

“Ketepikan agenda politik parti masing-masing, rakyat sudah letih dengan pemimpin-pemimpin politik yang tak habis-habis berpolitik.

“Kadang-kadang sebagai rakyat, kita perlu beritahu kepada kepimpinan tentang isu ini supaya mereka sedar tentang tanggungjawab mereka kepada rakyat, rakyat sedang menderita jadi bantulah mereka,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar kerajaan lebih agresif dalam pemberian vaksin kepada rakyat.

“Percepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat supaya kita mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Menurut beliau lagi, tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 amat bertetapatan dengan situasi sekarang.

“Tiada pilihan bagi rakyat Malaysia memandangkan kes Covid-19 yang semakin bertambah.

“Perlaksanaan PKP seperti yang pertama dahulu, sukar dilaksanakan memandangkan ianya boleh menjejaskan keadaan ekonomi negara.

“Dengan kekangan hasil pendapatan negara agak sukar untuk kita lakukan seperti yang pertama kerana ia boleh menjejaskan ekonomi rakyat Malaysia,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -