
KOTA BHARU: Lebih RM35,000 dibelanjakan Pusat Khidmat DUN Salor sepanjang tahun lepas untuk membantu meringankan pesakit kronik dalam DUN berkenaan.
ADUN Salor, Mohd Saizol Ismail berkata, peruntukan berkenaan telah dimanfaatkan kepada 50 orang penerima pesakit kronik dalam DUN berkenaan sepanjang tahun lepas.
Menurutnya, jumlah berkenaan bukan peruntukan tetap disalurkan kerajaan negeri, sebaliknya mengikut jumlah pesakit yang dimohon setiap DUN yang dilawatinya bersama Skuad Kita Cakno (SKC).
“Program ziarah ini menjadi amalan tahunan kita yang melibatkan tiga fasa setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi lima pesakit kronik dan terlantar bersama Skuad Kita Cakno (SKC) dalam Mukim Kota Selatan petang kelmarin.
Sebanyak lima pesakit kronik dilawati beliau antaranya angin ahmar, saraf, sakit kencing manis kronik.
Hadir sama pada sesi lawatan itu, isterinya Siti Nurhajartum Akmal Mohammad, penghulu mukim dan penghulu wanita.
Beliau memberitahu, setiap pesakit menerima bantuan berbentuk one-off berjumlah antara RM500 hingga RM700 tiap seorang bergantung kepada kategori penyakit yang dihadapi.
Katanya, bantuan ini merangkumi pesakit yang menghidap masalah jantung, kencing manis, angin ahmar, saraf, kanser dan lain-lain.
Menurut Saizol Ismail, jumlah sumbangan tidak ditetapkan tetapi bergantung kepada permohonan yang diterima.
“Peruntukan kebajikan antara yang tertinggi dibelanjakan oleh kita kerana di bawah kita ada pesakit biasa, pesakit kronik, tidak termasuk bantuan-bantuan lain,” katanya.
Selain pesakit kronik tambahnya, program ini turut melibatkan ziarah Cakna Aulad iaitu bayi baru lahir.
Untuk tahun ini, pesakit kronik sedang disenaraikan oleh para penghulu mukim masing-masing untuk diangkat nama-nama mereka agar dapat menerima sumbangan tersebut.
“Penghulu mukim memainkan peranan penting meninjau pesakit kronik, khususnya yang terlantar, untuk memastikan mereka menerima bantuan yang diperlukan berdasarkan penilaian rasmi,” jelas Saizol.
Jelas beliau, bagi memastikan kelancaran program, pemohon perlu mengemukakan borang di pejabat DUN bersama dokumen sokongan lain seperti surat pegawai kesihatan atau kad rawatan terkini.
Saizol berharap usaha ini dapat terus meringankan beban rakyat dan meningkatkan kebajikan komuniti di DUN Salor. – HARAKAHDAILY 17/1/2025











