
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan pusat Perikatan Nasional (PN) untuk menentukan individu yang bakal mengisi jawatan Pengerusi gabungan itu.
Ahli Parlimen Marang itu menegaskan bahawa beliau berlapang dada dan sedia memberikan kerjasama penuh kepada sesiapa sahaja yang dipilih, sekiranya keputusan mesyuarat tidak memihak kepadanya.
“Saya serah pada pusat untuk pilih siapa. Kalau dia bukan saya (dipilih sebagai Pengerusi), saya sedia membantu siapa sahaja yang jadi Pengerusi.
“Mesyuarat PAS Pusat dan PN Pusat dijangka akan diadakan pada minggu hadapan bagi membincangkan perkara ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kriteria pemilihan, beliau menjelaskan bahawa tiada sebarang kekangan di dalam perlembagaan PN mengenai siapa yang layak memimpin gabungan tersebut.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa realiti politik semasa menuntut sokongan yang meluas merentasi kaum dan agama.
“Kita kena sedar, untuk menang kita memerlukan sokongan bukan sahaja orang Islam, tetapi termasuk orang bukan Islam dan mereka yang bukan ahli PAS,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan pendirian PAS untuk tidak menerima sebarang tawaran jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Perlis.
“Kita dah buat keputusan, kita tak akan terima jawatan itu. Walaupun dipelawa, kita tetap tak terima.
“Ia (tindakan pihak terbabit) dianggap satu pengkhianatan menjatuhkan kerajaan. Kita sudah buat keputusan (berhubung disiplin parti), jadi kita tidak terima,” tegasnya.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap pelawaan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS untuk menyertai barisan pentadbiran kerajaan negeri.
Sementara itu, menyentuh cadangan menetapkan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri selama 10 tahun, beliau berpandangan kelayakan seseorang pemimpin tidak seharusnya disekat oleh tempoh masa jika masih berkemampuan.
Dalam penjelasannya, beliau berkata, menurut perspektif Islam, selagi seseorang pemimpin itu layak dan mampu menjalankan tugas, beliau boleh terus berkhidmat.
“Dalam Islam, selagi orang itu layak, dia boleh jalankan tugas. (Tun) Dr Mahathir umur dekat 100 tahun pun tak ada apa-apa, dia masih boleh berkhidmat,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/1/2026











