
SEMALAM, secara rasminya rakyat Kelantan menerima Menteri Besar Kelantan baharu iaitu Dato’ Panglima Perang Dato’ Haji Nussuruddin bin Haji Daud. Beliau menggantikan Dato’ Ustaz Ahmad Yaakob.
Beliau lebih popular dengan nama panggilan Ustaz Nasharuddin Daud.
Ustaz Nasharuddin Daud mengikut jejak langkah bapanya, Tuan Guru Haji Daud Meranti yang pernah menjadi wakil rakyat bagi DUN Tumpat Barat selama 10 tahun.
Ustaz Nasharuddin Daud ialah anak tok guru. Bapanya dikenali sebagai Haji Daud Meranti.
Bapanya mengajar orang ramai Tafsir, Hadis, nahu, tasauf dan Fiqh Sirah sekitar Pasir Mas.
Haji Daud Meranti juga membina sekolah ugama di Kampung Meranti, Pasir Mas. Kini usaha bapanya ini diteruskan oleh Ustaz Nasharuddin Daud dan Ustaz Mansor Daud dengan penubuhan Maahad Tahfiz Daril Ulum (MAFIZ).
Ustaz Nasharuddin mendapat pendidikan di Maahad Muhammadi, Kota bharu dan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir.
Semasa beliau belajar di Mesir, beliau pulang bercuti ke Kelantan dan sempat menjadi guru di Maahad Muhammadi, Kota Bharu.
Beliau mengajar sesi petang. Saya ingat lagi ketika itu, kelas saya 3A dan berada di tingkat 3. Ustaz Nassaruddin mengajar di kelas sebelah.
Cara beliau mengajar seperti sedang berceramah kepada khalayak ramai.
Ketika itu, kelas kami subjek Bahasa Melayu. Mungkin sebab suara Ustaz Nasruddin agak kuat maka Cikgu Sabiha Yahya berkata kepada kami,
“Kita dengar je lah apa yang ustaz kelas sebelah mengajar…”
Jika kita pernah dengar suara Ustaz Nasharuddin berceramah di pentas politik. Begitulah nada suaranya yang kami dengar pada petang itu. Tidak perlu ada speaker. Suaranya memang kuat.
Ustaz Nasharuddin mengajar sekejap sahaja di Maahad Muhammadi Lelaki.
Sebelum sempat beliau pulang ke Mesir. Beliau diminta oleh TG Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) menjadi calon PAS dalam PRU 1995 untuk DUN Meranti.
Beliau menjadi calon dan menjadi wakil rakyat DUN Meranti sejak 1995 hingga sekarang.
Dengan itu, beliau tidak sempat habiskan pengajiannya di Universiti Al-Azhar.
Peperiksaan tahun akhir di Universiti Al-Azhar boleh dibawa selamanya. Jadi ada ketika Ustaz Nasharuddin pergi ke Mesir untuk mengambil periksa tahun akhir.
Alhamdulillah beliau berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar. Perkara ini disahkan oleh kawan saya yang pernah berkhidmat dengannya semasa zaman Exco.
Walaupun beliau belum habis pengajian Universiti Al-Azhar. Tetapi beliau di antara ustaz yang berani menggantikan tempat TGNA mengajar di Dewan Zulkifli Muhammad, Pejabat PAS Kelantan.
Menurut Almarhum Ustaz Mustafa Rusydi, tidak ramai ustaz yang berani mengganti tempat TGNA.
Seingat saya, ustaz yang pernah mengajar di Zulkifli Muhammad selain TGNA ialah Ustaz Nasharuddin Daud, Maulana Shaari Mustafa, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Almarhum YB Ustaz Bunyamin Yaacob (Bekas Ahli Parlimen Bachok).
Apabila bercerita pasal Ustaz Nasharuddin Daud, kita akan dengar orang Kelantan berkata,
“Walaupun Ustaz Nasharuddin mengaji (belajar) tak habis lagi tapi dia tahap tok guru doh…”
Ustaz Nasharuddin pernah menjadi Exco, menjaga portfolio pembangunan Islam, dakwah, penerangan dan hubungan serantau.
Dengan itu, beliau mempunyai pengalaman mentadbir dalam kerajaan negeri sebelum memegang jawatan Menteri Besar Kelantan.
Semasa tercetus pertembungan Datuk Husam Musa dengan Kerajaan Kelantan dan PAS, Datuk Husam gemar menjaja perkara negatif terhadap Menteri Besar Kelantan dan PAS.
Ustaz Nasharuddin adalah di antara pemimpin PAS Kelantan yang menjawab tohmahan-tohmahan yang dilemparkan di dalam Sidang DUN dan pentas ceramah politik.
Mungkin sebab itu Ustaz Nasharuddin digelar Singa PAS Kelantan. Gelaran yang beliau terima daripada Istana ialah Dato’ Panglima Perang, ia amat sesuai dengan karakter beliau mempertahankan bumi Kelantan.
Kini Kelantan selalu dihimpit oleh musuh-musuh politik maka amat bertepatan Ustaz Nasharuddin dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu.
Orang putih kata,
“Right time, right place, right man”.
Jangan terkejut jika Singa PAS ini mengaum!
Moga Ustaz Nasharuddin dan barisan Exco yang baharu dapat mentadbir bumi Kelantan dengan baik. Siru ala barakatillah.
Moga Kelantan terus Membangun Bersama Islam dan diberkati Allah. Salam hormat.
DR. ABDÉL RAHMANOV – HARAKAHDAILY 17/8/2023
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000979156275/posts/pfbid02GmHsGZatsEFfJCrpwVrSAUvEmc88ENeCdD2tN1YdTpBHXM8ZV8AEvu9PER7QNuKql/?mibextid=Nif5oz
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















